Dasht-e Lut, tempat paling panas di dunia

Dasht-e Lut, tempat paling panas di dunia

Padang pasir ini merekodkan suhu paling panas lebih 70 darjah Celsius.

Keadaan di padang pasir Dasht-e Lut.

Biarpun saiz padang pasir Dasht-e Lut, Iran hanya berada di kedudukan ke-25 dunia, namun ia memegang rekod sebagai padang pasir yang mempunyai suhu permukaan paling panas iaitu lebih 70 darjah Celsius.

Dasht-e Lut dipercayai terbentuk dari dasar laut di mana beberapa juta tahun lalu berlaku pergeseran tektonik menyebabkan dasar laut naik dan air meruap keluar kerana suhu yang panas.

Kini, kawasan seluas 51,800 kilometer persegi itu dikelilingi oleh gunung-ganang, menyumbang kepada suhu yang direkodkan di sini yang mana ia menghalang udara dari Laut Arab dan Mediterranean untuk sampai ke situ.

Alat pengimbas dipasang pada satelit Aqua NASA yang mengumpul data pada 2003 dan 2010 mendedahkan suhu paling panas yang pernah direkodkan di Dasht-e Lut.

Berdasarkan data itu, suhu terbabit pernah mencecah 70.7 darjah Celsius pada 2005, namun padang pasir terbabit juga mempunyai suhu tertinggi setiap tahun dalam tempoh lima hingga tujuh tahun menerusi data satelit berkenaan.

Bahagian paling panas di Dasht-e Lut dikenali sebagai Gangom Beryan iaitu dataran tinggi yang diliputi dengan batu gunung berapi berkeluasan kira-kira 480 kilometer persegi.

Batu berwarna hitam itu adalah antara faktor yang menentukan suhu ekstrem yang direkodkan memandangkan ia menyerap lebih banyak tenaga daripada cahaya matahari namun ia hanya menggambarkan sebahagian kecilnya saja.

Menariknya, nama Gandom Beryan atau gandum bakar dalam bahasa Parsi mendapat nama daripada kisah legenda tempatan mengenai sejumlah gandum yang ditinggalkan di padang pasir menjadi hangus selepas beberapa hari.

Dengan suhu mencecah hampir 70.7 darjah Celsius, cerita itu bagaikan sukar untuk dipercayai.

Satu lagi faktor lain terhadap suhu panas yang ekstrem di situ adalah kekurangan tumbuhan. Tanahnya yang masin menyebabkan agak sukar untuk ditumbuhi tanaman.

Tumbuhan yang ada di padang pasir berkenaan hanyalah lichen dan tamarisk iaitu pokok renek yang boleh tumbuh sehingga 10 meter.

“Suhu permukaan yang panas adalah di kawasan yang tidak mempunyai tanaman,” kata pakar iklim, Roger Pielke Sr dari Institut Koperasi Penyelidikan Sains Alam Sekitar Universiti Colorado kepada NASA.

“Ini bermakna jika terdapat perubahan landskap yang menyebabkan tiada tumbuhan, suhu maksimum di lokasi terbabit dijangka menjadi lebih panas.

“Sekiranya oasis berkembang daripada pengairan bawah permukaan air di padang pasir, suhu maksimum akan berkurangan,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.