
Di sebuah pasar yang sibuk di ibu kota Syria, seorang penjual jus asam jawa bernyanyi kepada pelanggannya sambil menuangkan jus ke dalam gelas mereka.
Itu adalah suasana menjelangnya Ramadan di Damsyik apabila peniaga jalanan terbabit, Ishaaq Kremed mula bersiap sedia menyambut ketibaan bulan suci.
Lazimnya, kehadiran peniaga jalanan amat popular di kawasan itu dan mereka juga menerima ramai pelanggan yang mencari makanan dan minuman setiap kali musim Ramadan.
Namun, Ishaaq yang berniaga lebih 40 tahun berkata, situasi kali ini agak berbeza terutama apabila negara konflik perang itu mengalami kejatuhan ekonomi yang teruk.
“Tugas utama saya ialah membuatkan pelanggan tersenyum. Apa yang penting ialah mereka meninggalkan saya dengan perasaan gembira,” katanya.
Pada hari biasa, berpuluh pelanggan mengelilinginya di Pasar Hamidiyah itu untuk merasai keenakan jus asam jawa buatannya.
Perwatakannya yang disenangi juga membuatkan sesiapa saja ingin bergambar bersamanya.
Sambil menuangkan jus asam jawa ke dalam cawan, dia sempat bersenandung kepada mereka sebagai cara untuk menghiburkan pelanggan.
Antara pelanggan itu termasuk seorang wanita bersama dua anak perempuannya yang turut melayan gelagat Ishaaq.
Sejak ekonomi merudum di Syria, harga pelbagai barangan naik mendadak dan menyebabkan mata wangnya jatuh.
“Sejak tiga tahun lalu, Ramadan tidak sama seperti dulu kerana ramai yang risau dengan masalah kewangan,” kata Ishaaq.
Biarpun dia cuba untuk tenang namun peniaga itu tidak dapat menyembunyikan kerisauannya terhadap situasi ekonomi berkenaan.
Katanya, harga asam jawa dan gula juga semakin mahal dan bukan semua orang mempunyai wang untuk menikmati jusnya.
“Keutamaan orang ramai ketika ini ialah sekadar menyediakan perkara asas saja iaitu makanan dan minuman di atas meja sebelum berfikir soal lain, seperti membeli jus asam jawa,” katanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]