Morbites Kota Damansara menawarkan hidangan burger enak pada harga berpatutan

Morbites Kota Damansara menawarkan hidangan burger enak pada harga berpatutan

Morbites yang bermula sebagai warung burger tepi jalan kini mempunyai restoran sendiri di Kota Damansara.

Chez Burger yang ringkas tetapi elegan menjadi burger paling laris di Morbites. (Gambar Ahmad Sadiq)

Petaling Jaya: Burger adalah makanan yang sudah menjadi sebahagian daripada rakyat Malaysia, sama ada dibeli dari restoran makanan segera atau dari tepi jalan.

Burger tepi jalan sememangnya begitu sinonim dengan rakyat di negara ini kerana ia mudah diperolehi dan harganya pula berpatutan.

Tidak hairanlah ia menjadi antara makanan yang dekat di hati setiap daripada kita.

Begitu juga dengan kisah di sebalik kejayaan Morbites yang memulakan langkah dalam perniagaan hanya membuka warung burger tepi jalan dikenali sebagai SixtyBites.

Beberapa tahun kemudian, Morbites membuka restoran pertamanya di sebuah kawasan kejiranan yang sibuk di Kota Damansara.

Apa yang menjadi kepada kunci kejayaan Morbites? Semestinya terletak pada burger yang dihasilkannya.

Bermula dengan warung burger di Taman Tun Dr Ismail sebelum menggunakan trak makanan dan akhirnya Morbites membuka sebuah restoran. (Gambar Ahmad Sadiq)

Sebagai rakyat Malaysia, kita sentiasa mencari makanan sedap yang mempunyai nilai terbaik dan itulah yang ditawarkan di Morbites apabila anda boleh menikmati burger pada harga biasa.

Lebih berkualiti lagi apabila semua bahan-bahannya dihasilkan sendiri termasuk roti, sos, kepingan daging serta pencicah.

Anda yang tidak biasa makan di sini mungkin sukar membuat pilihan kerana terdapat pelbagai jenis burger dihidangkan di sini.

Namun, anda mungkin boleh memilih Chez Burger iaitu makanan yang paling laris dijual di Morbites.

Walaupun ringkas tetapi ia menjanjikan kenikmatan sebenar burger dengan kepingan daging lazat yang dilapis dengan hirisan tomato dan keju.

Ia turut didatangkan dengan campuran mayonaise mustard selain jem bawang bagi menggabungkan rasa masam dan manis.

Taj Lamb adalah burger unik yang menggunakan kepingan roti canai bagi menggantikan roti burger. (Gambar Ahmad Sadiq)

Sekiranya anda adalah penggemar makanan pedas, Chilli Chez Burger mempunyai rasa yang lebih pedas berbanding Chez Burger kerana didatangkan bersama sos daging Mexico berempah.

Tahap kepedasannya begitu sempurna dan tidak sia-sia jika anda ingin mencubanya.

Selain itu, anda jangan terkejut melihat nama Hannibal Burger terpampang pada menu kerana ia bukanlah seperti disangka sebaliknya diambil sempena nama filem Cannibal.

Manakala burger ‘Silence of the Lambs’ adalah nama yang amat sesuai sekali kerana ia sememangnya didatangkan dengan kepingan daging kambing.

Daging terbabit diperisakan dengan masala sebelum dihidangkan bersama terung panggang, chutney mangga bersama sos mayonaise, keju dan daun salad segar.

Nama Hannibal Burger diambil sempena nama filem yang dibintangi Anthony Hopkins sebagai Hannibal Lecter. (Gambar Ahmad Sadiq)

Selain burger, rakyat Malaysia juga gemarkan roti canai dan ia cuba digabungkan oleh restoran ini bagi memberi peluang pelanggan merasai kedua-duanya.

Kombinasi itu dihasilkan menerusi burger Taj Lamb apabila roti burger digantikan dengan kepingan roti canai.

Selain kepingan daging kambing dan daun salad, ia turut didatangkan bersama sos mayonaise perisa kari dan semestinya wajib dicuba.

Bagi peminat daging ayam, anda jangan risau kerana Morbites juga menyediakan pilihan seperti Hail Caesar Burger kepada pelanggannya.

Kombinasi emping cili serta sos Caesar berkrim pasti bersama kepingan daging ayam pasti memuaskan hati.

Selain itu, menyedari ramai rakyat Malaysia yang beralih kepada makanan berasaskan sayuran dan, Morbites turut menyediakan burger Beyond Meat Burger untuk mereka.

Sepanjang Ramadan ini, Morbites menambah menu Nasi Lemak untuk tempoh terhad. (Gambar Ahmad Sadiq)

Beyond Meat adalah burger untuk golongan vegetarian yang dihiasi dengan salsa guac dan keju vegetarian bersama jem bawang.

Walaupun anda adalah penggemar daging, menu ini pasti membuatkan anda sukar membuat perbezaan kerana rasanya benar-benar seperti burger daging biasa.

Menjelangnya Hari Raya tidak lama lagi, Morbites turut menyelitkan menu istimewa, Nasi Lemak yang dihasilkan dalam versi mereka tersendiri.

Ia didatangkan bersama kepingan ayam goreng bersalut rempah, nasi serta sambal enak yang harus dicuba oleh semua.

Tetapi jangan lupa, setiap kali memesan menu burger, anda mempunyai pilihan yang datang bersama set iaitu jejari kentang goreng atau nachos.

Kedua-duanya adalah pilihan terbaik terutama jejari kentang yang digoreng rangup sebelum dinikmati bersama sos mayonaise mustard.

Beyond Meat Burger khusus untuk vegetarian.(Gambar Ahmad Sadiq)

Walaupun nachos masih dianggap asing di kebanyakan restoran di Malaysia, tetapi ia tidak berlaku di restoran ini kerana anda boleh menikmatinya pada bila-bila masa.

Lebih enak lagi apabila ia dicicah bersama daging cincang yang dihasilkan dengan penuh berperisa.

Hidangan burger tidak lengkap tanpa minuman susu kocak pelbagai perisa dan Morbites menyediakan tiga perisa kegemaran pelanggannya.

Adakah Choco Loco, Vanilla Surprise atau Mango Tango? Yang mana satu menjadi pilihan anda?

Jika anda peminat coklat tegar bolehlah memilih Choco Loco didatangkan dengan ais krim coklat, biskut hancur, cip coklat dan emping kacang badam.

Manakala Vanilla Surpise pasti memberi kejutan dengan perisa enak daripada campuran ais krim, pisang sejuk serta biskut hancur.

Atau jika anda peminat buah mangga, Mango Tango adalah pilihannya yang dihasilkan dengan ais krim vanilla, puri mangga segar, sos pudina dan sagu.

Morbites menyediakan burger segar pada harga berpatutan yang boleh dinikmati menerusi khidmat penghantaran di sebahagian besar kawasan Lembah Klang. (Gambar Ahmad Sadiq)

Ketika memberitahu FMT, pengasas bersama Morbites, John Tey berkata, minat terhadap makanan menjadi pendorong untuk bekerjasama dengan rakan perniagaan, Amer Ezzadeen dengan membuka restoran itu pada 2019.

Selepas bermula dengan warung burger di Taman Tun Dr Ismail, dia dan Amer membeli sebuah trak makanan yang masih beroperasi hingga ke hari ini.

“Makanan sentiasa menjadi minat saya dari situ kerjasama kami bermula. Kami merancang untuk menawarkan burger pada harga rendah kepada lebih banyak kawasan selepas ini,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.