Tip untuk elakkan daging jadi liat ketika memasak

Tip untuk elakkan daging jadi liat ketika memasak

Gunakan teknik yang betul bermula daripada pemotongan daging sehinggalah ke proses memasak daging tersebut.

Daging yang lembut dan sempurna dimasak perlu melalui teknik pemotongan dan memasak yang betul. (Gambar Rawpixel)

Kita sering berhadapan masalah memasak daging yang liat dan tidak sempurna dan anda tentunya inginkan daging yang mudah dikunyah dan lembut untuk dimakan.

Semasa penyediaan, anda harus berhati-hati dan gunakan teknik yang betul bermula daripada pemotongan daging sehinggalah ke proses memasak daging tersebut.

Jadi, kami ingin berkongsi beberapa tip yang anda boleh dipraktikkan untuk elakkan daging menjadi liat ketika masak.

1. Teknik memotong daging

Potong daging mengikut arah menegak atas urat daging, iaitu melintang urat dan jangan ikut urat daging.

Daging memerlukan masa yang lama untuk dimasak dan akan menjadi liat jika cara memotongnya salah. Oleh itu, sebelum memasak daging, pastikan cara memotong daging adalah betul.

Buang lemak atau selaput keras yang melekat pada daging tersebut.

Potong daging mengikut arah menegak atas urat daging, iaitu melintang urat dan jangan ikut urat daging.

Lihat terlebih dahulu jalur-jalur urat daging, lalu letakkan pisau bertentangan dengan urat daging dan potong mengikut saiz yang anda mahukan.

Pada beberapa bahagian daging yang mempunyai lebih daripada satu otot, misalnya ada 5 otot.

Maka, setiap otot tersebut harus dibuang terlebih dahulu mengikut selaput pembahagian setiap otot kemudian daging dapat dipotong dengan mudah dan tidak liat ketika dimasak.

2. Tambahkan biji kurma dalam masakan

Biji kurma atau buahnya berkesan bagi memastikan daging lembut dan tidak liat semasa memasak.

Biji kurma sangat berguna dalam masakan. Kandungan gula tinggi dalam kurma dapat membantu memberikan pemanis semula jadi kepada masakan tanpa menambah perasa manis lain.

Biji kurma atau buahnya berkesan bagi memastikan daging lembut dan tidak liat semasa memasak.

Caranya sangat mudah, anda juga boleh pilih sama ada gunakan buah kurma atau bijinya sahaja.

Anda hanya perlu memasukkan beberapa biji buah kurma atau beberapa butir biji kurma ke dalam masakan. Tetapi, harus diingatkan kuantitinya jangan terlalu banyak. Kalau tak, daging anda bukannya lembut, tetapi hancur.

Ia berupaya mempercepatkan proses melembutkan daging dan mengelakkan daging liat. Ia juga akan memberikan rasa manis pada masakan secara semulajadi tanpa menambah pemanis tambahan lain.

Ia sesuai dipraktikkan jika anda ingin memasak masakan berkuah atau sup. Gunakan 5 butir biji kurma sudah memadai untuk proses ini. Apabila selesai memasak, keluarkan biji kurma tersebut sebelum menghidangkan sajian tersebut.

3. Daun nangka elak daging liat

Daun nangka dapat membantu mengempukkan daging dan tidak akan liat untuk dimakan.

Daun nangka juga berkesan melembutkan daging. Anda hanya perlu memasukkan beberapa daun nangka bersama nangka ke dalam masakan daging atau air rebusan daging.

Basuh daun tersebut sehingga bersih terlebih dahulu sebelum memasukkan ke dalam periuk.

Ia juga boleh dipraktikkan dalam masakan menggunakan ayam kampung atau hutan. Ia dapat membantu mengempukkan daging dan tidak akan liat untuk dimakan.

Seeloknya, keringkan getah yang ada pada daun nangka tersebut sebelum digunakan. Gunakan sekurang-kurangnya 4-5 helai daun nangka dan ia diyakini berkesan dalam mengelakkan daging menjadi liat semasa proses memasak.

4. Ketuk daging untuk jadikan ia lembut

Teknik mengetuk daging ini bertujuan melembutkan otot-otot fiber daging yang keras.

Teknik seterusnya ialah mengetuk daging. Alatan mengetuk daging yang anda boleh gunakan ialah mallet, meat tenderizer atau pengetuk daging.

Anda hanya perlu ketuk bahagian lembut daging secara perlahan dan ketuk secara kuat pada bahagian keras daging.

Teknik ini bertujuan melembutkan otot-otot fiber daging yang keras. Setelah itu, ia tidak lagi liat dan mudah lembut serta cepat empuk semasa masak. Ia akan menjadikan tekstur daging mudah terungkai dan daging menjadi lembut.

Anda perlu melakukan teknik ini sebelum memasak daging tersebut.

Apabila sudah selesai mengetuk daging tersebut, bolehlah teruskan proses memasak daging dengan memotong daging kecil-kecil mengikut saiz yang anda mahukan.

5. Elakkan daging liat guna sudu besi

Sudu yang dimasukkan ke dalam periuk rebusan daging berupaya menyerap lebih haba dan kepanasan yang berpotensi membantu proses melembutkan daging.

Salah satu teknik tradisional yang sering digunakan oleh generasi dahulu dalam memastikan daging tidak liat ialah dengan memasukkan sebatang sudu atau garfu kecil ke dalam periuk semasa merebus atau memasak daging.

Ada yang menggunakan sudu tembaga, ada juga yang menggunakan sudu besi.

Ia dikatakan berupaya menyerap lebih haba dan kepanasan yang berpotensi membantu proses melembutkan daging.

Pastikan daging menjadi empuk dan lembut kemudian baru keluarkan sudu tersebut.

Secara saintifik, sudu adalah bahan logam pengalir haba terbaik dan tujuan penggunaan sudu dalam masakan bagi meningkatkan haba sedia ada dalam periuk sekaligus dapat mempercepat proses daging menjadi lembut.

Kebiasaannya ia digunakan untuk masakan sup dan berkuah bagi mengelakkan daging menjadi liat dan keras.

6. Daun betik kurangkan liat daging

Daun betik dikatakan berupaya menjadi agen pelembut daging dan mengelakkan daging menjadi liat semasa dimasak.

Selain itu, anda juga boleh menggunakan betik dalam memasak daging. Petua yang kebiasaan digunakan samada memilih menggunakan daun betik atau buah betik muda.

Kedua-duanya berupaya menjadi agen pelembut daging dan mengelakkan daging menjadi liat semasa dimasak.

Bagi daun, anda boleh mengambil beberapa tangkai daun betik dan masukkan dalam masakan. Biarkan sehingga daging menjadi lembut dan empuk lalu tutup api.

Jika tiada daun betik, anda boleh gantikan dengan buah betik muda. Tetapi sebelum itu, kupas kulit terlebih dahulu dan buang biji serta bersihkan lalu masukkan ke dalam masakan berasaskan daging.

7. Perap daging dengan nanas

Perapan parutan buah nenas berpotensi melembutkan bahagian daging yang keras dan liat. (Gambar Rawpixel)

Anda boleh menggunakan parutan buah nanas muda. Ini kerana buah nanas mengandungi enzim yang boleh meleraikan serat daging sehingga memudahkan ia lebih empuk ketika dipotong dan dapat dimasak dengan baik dan sempurna.

Ia sama seperti teknik perapan yang menggunakan cuka ataupun lemon.

Anda hanya perlu memerap daging yang telah dicuci bersih dengan nanas yang telah dikisar halus selama 30 minit. Kemudian, bersihkan daging tersebut dengan air bersih.

Biarkan seketika sebelum dimasak. Perapan yang dilakukan berpotensi melembutkan bahagian daging yang keras dan liat.

8. Rendam batang ubi kayu dalam masakan

Batang ubi kayu dikatakan berupaya melembutkan daging yang liat.

Anda hanya perlu menggunakan batang ubi kayu untuk dimasukkan ke dalam masakan daging.

Cara dengan memotong batang ubi kayu tersebut menjadi satu keratan yang kecil dan muat untuk diletakkan dalam periuk. Pastikan batang ubi kayu itu dibersihkan terlebih dahulu sebelum digunakan.

Kemudian, masukkan batang ubi kayu ke dalam periuk yang sedang mendidih dan biarkan ia selama 10 hingga 15 minit sehingga daging betul-betul masak dan empuk.

Apabila ia sudah masak, angkat dan asingkan batang ubi kayu daripada rebusan daging tadi.

9. Biji pinang melembutkan daging

Sedikit biji pinang mampu membantu melembutkan daging.

Jika di rumah anda terdapat pokok pinang, anda boleh menggunakan biji pinang dalam masakan daging.

Tetapi, jangan masukkan dalam kuantiti yang terlalu banyak. Masukkan sedikit sahaja untuk membantu melembutkan daging sahaja.

Caranya mudah, anda hanya perlu mengambil buah pinang tua yang telah luruh sendiri dan kupas buah tersebut.

Keluarkan bijinya dan masukkan ke dalam masakan daging. Ia mudah dilakukan bagi menjadikan daging mudah masak dan lembut untuk dikunyah.

Kesimpulannya, daging akan lebih mudah dimasak dan cepat empuk jika anda menggunakan teknik-teknik di atas.

Ia berpotensi melembutkan daging secara semulajadi tanpa menggunakan bahan tambahan yang berbahaya kepada anda.

Artikel ini telah disiarkan di butterkicap.com Butterkicap adalah platfom dan komuniti yang menceritakan tentang makanan dan kebudayaan di Malaysia.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.