Minum banyak air & jaga kebersihan untuk elak kencing kotor

Minum banyak air & jaga kebersihan untuk elak kencing kotor

Rasa kencing tidak lawas, berbau busuk dan kadangkala sakit ketika membuang air boleh buat sesiapa sahaja jadi tidak keruan.

Cara terbaik untuk mengelakkan jangkitan saluran kencing ialah dengan minum banyak air. (Gambar Rawpixel)

Tahukah anda, ada cara untuk mengatasi dan hilangkan simptom yang disebabkan oleh penyakit kencing kotor?

Jangkitan saluran kencing atau UTI merupakan satu kondisi yang boleh menyebabkan ketidakselesaan dalam kalangan penghidapnya.

Rasa kencing tidak lawas, berbau busuk dan kadangkala sakit ketika membuang air boleh buat sesiapa sahaja jadi tidak keruan.

UTI merupakan sejenis jangkitan yang amat lazim berlaku terutamanya dalam kalangan wanita. Disebabkan perkara ini melibatkan alat sulit, ramai yang rasa sukar untuk bercakap mengenainya di hadapan doktor.

Oleh sebab itu, mungkin ramai yang mencari alternatif lain untuk merawat ketidakselesaan yang dialami. Namun, bukan semua yang anda baca di laman sesawang itu benar.

Jika anda alami UTI, pastikan anda berjumpa doktor untuk rawatan lanjut. Jika anda kerap mengalami UTI yang berulang, anda mungkin perlu lakukan beberapa perubahan dari segi kebersihan diri dan gaya hidup.

Ada banyak cara yang anda boleh lakukan untuk mengurangkan risiko jangkitan saluran kencing. Jika anda ingin tahu lebih lanjut, mari baca tip berkenaan cara pencegahan yang kami berikan di bawah.

Cara mengatasi kencing kotor

Penyakit kencing kotor kadangkala tidak dapat diatasi walau apa pun yang anda lakukan kerana UTI tidak selalunya dapat dielakkan. Jika anda kerap mengalami jangkitan saluran kencing, pastikan anda berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Antara simptom UTI ialah:

1. Rasa sukar untuk membuang air kecil.

2. Pedih ketika kencing.

3. Air kencing berdarah atau keruh.

4. Air kencing berbau busuk.

5. Sakit pada bahagian pelvik.

Anda perlu mendapatkan rawatan pakar jika anda mengalami simptom di atas. Doktor mungkin akan melakukan beberapa jenis ujian untuk menentukan sama ada anda menghidap UTI ataupun tidak.

Jika ya, anda mungkin akan dibekalkan dengan antibiotik untuk merawat masalah jangkitan saluran kencing yang anda alami.

Namun, ada beberapa perkara yang anda boleh lakukan untuk mengatasi kencing kotor.

Di bawah, kami kongsikan 6 cara terbaik yang boleh anda lakukan untuk mengelakkan jangkitan dan hilangkan simptom penyakit kencing kotor.

1. Pastikan anda minum air dengan mencukupi

Minum 6 hingga 8 gelas sehari untuk memenuhi keperluan air di dalam badan sepanjang hari. (Gambar Rawpixel)

Cara yang terbaik untuk mengelakkan jangkitan saluran kencing ialah dengan minum banyak air. Amalan ini dapat membantu anda untuk membuang air dengan lebih kerap dan membantu mengeluarkan bakteria daripada saluran kencing.

Walaupun anda boleh minum apa sahaja air yang anda suka, air kosong merupakan pilihan yang terbaik untuk mengelakkan UTI. Minum sebanyak 6 hingga 8 gelas sehari sudah memadai untuk memenuhi keperluan air badan sepanjang hari.

Jika anda mempunyai masalah untuk minum air kosong, cuba tambahkan sepotong oren atau limau ke dalam air anda. Selain itu, anda juga boleh sediakan sesuatu yang sihat seperti jus atau “smotthie” buah-buahan, teh herba atau susu mengikut selera anda.

Tetapi, jangan ambil minuman yang mengandungi kafein atau alkohol terlalu banyak! Kedua-dua minuman ini merupakan sejenis diuretik yang boleh mengakibatkan iritasi pada pundi kencing anda.

2. Minum jus kranberi

Salah satu tip yang paling popular untuk mengelakkan UTI ialah dengan mengamalkan pengambilan jus kranberi.

Walau bagaimanapun, sejauh mana pengambilan jus ini dapat mengelakkan UTI masih lagi tidak dapat disahkan.

Kranberi mengandungi sejenis bahan aktif yang dikenali sebagai A-type proanthocyanidins yang dapat menghalang pelekatan bakteria pada permukaan pundi kencing, lebih-lebih lagi bakteria E. coli.

Walau bagaimanapun, kebanyakan kajian yang dijalankan mendapati jus kranberi dan juga suplemen tidak mengandungi bahan aktif ini dengan mencukupi.

Menurut sebuah kajian yang dijalankan oleh Juthani-Mehta, Van Ness dan Bianco selama 1 tahun, mereka mendapati pengambilan kapsul kranberi dalam kalangan wanita berusia dia rumah orang-orang tua tidak menunjukkan sebarang perbezaan dari segi kewujudan “bacteriuria plus pyuria”.

Walau bagaimanapun, risiko pengambilan jus kranberi untuk mengubati UTI adalah sangat kecil. Malah, jika anda ingin mengamalkan jus kranberi sebagai sebahagian daripada diet anda, ada banyak lagi kebaikan lain yang boleh diperoleh.

3. Lap kemaluan dari depan ke belakang

Disebabkan bakteria E. coli banyak terdapat di kawasan dubur manusia, penting untuk kita mengamalkan cara yang betul untuk mengelap kemaluan lebih-lagi bagi kaum Hawa yang mempunyai uretra yang lebih pendek berbanding lelaki.

Sama jugalah ketika anda datang bulan. Pastikan tuala wanita sentiasa ditukar untuk mengelakkan jangkitan. Selain itu, jangan sesekali gunakan sebarang penyembur atau deodoran pada kawasan intim.

Pastikan anda sentiasa mengelap kemaluan dari depan ke belakang dan bukan sebaliknya. Amalan ini akan mengurangkan risiko untuk E. coli daripada rektum untuk memasuki saluran kencing anda dan menyebabkan jangkitan.

Jika anda sedang mengalami cirit-birit, pastikan anda cuci kawasan kemaluan dengan rapi. Kesukaran untuk mengawal pergerakan usus ketika anda mengalami cirit birit boleh meningkatkan risiko anda untuk menyebarkan E. coli ke dalam saluran uretra.

4. Buang air selepas melakukan hubungan seks

Amalan membuang air selepas melakukan hubungan seks dapat membantu mengurangkan risiko UTI. Membuang air selepas melakukan hubungan seks dapat mengeluarkan bakteria yang boleh menyebabkan jangkitan daripada saluran kencing.

Selain itu, anda juga boleh membasuh kemaluan sebelum dan selepas melakukan seks. Dengan menjaga kebersihan kemaluan anda, bakteria yang boleh menyebabkan UTI lebih sukar untuk memasuki saluran uretra.

Sebelum melakukan seks, minum segelas air terlebih dahulu untuk memudahkan anda membuang air.

5. Elakkan memakai produk yang boleh menyebabkan iritasi

Elakkan memakai produk yang boleh menyebabkan iritasi pada alat sulit. Sebagai contoh, tuala wanita atau tampon yang berbau wangi, bedak dan penyembur deodoran boleh menggalakkan pertumbuhan bakteria pada kawasan vagina.

Tinggalkan juga amalan meruang. Amalan ini bukan sahaja tidak mendatangkan apa-apa kebaikan, malah lebih mendatangkan keburukan daripada kebaikan.

Pemakaian produk yang tidak sesuai dan amalan meruang boleh merubah pH semula jadi pada kawasan kemaluan. Ini boleh menyebabkan jangkitan lebih mudah berlaku, lebih-lebih lagi jangkitan seperti UTI, bacterial vaginosis dan jangkitan yis.

Vagina merupakan tempat tinggal bagi 50 spesis microorganism yang berbeza. Microorganisma ini bertanggungjawab untuk mengekalkan kesihatan alat sulit dan memastikan pH sentiasa berada dalam keadaan yang seimbang.

Selain itu, penggunaan bath bombs, mandian buih dan minyak pati semasa mandi juga boleh menyebabkan kegatalan pada alat sulit. Selain itu, mandi menggunakan pancuran dan elakkan berendam di dalam tab mandi.

Oleh sebab itu, hati-hatilah jika anda ingin menggunakan sebarang produk. Jika ia menyebabkan iritasi, elakkan daripada menggunakan produk tersebut lagi pada masa hadapan.

6. Tukar alat pencegah kehamilan

Ada beberapa jenis alat pencegah kehamilan yang boleh meningkatkan risiko anda untuk menghidap UTI. Antaranya ialah penggunaan alat seperti diafragma atau spermicide yang dapat menggalakkan pertumbuhan bakteria.

Jika anda mengesyaki alat pencegah kehamilan yang anda sedang gunakan merupakan penyebab UTI, cuba berbincang dengan doktor anda pada masa hadapan. Mereka dapat membantu anda untuk mencari alternatif lain yang lebih sesuai.

Selain itu, gunakan pelincir berasaskan air jika anda alami masalah vagina kering semasa melakukan hubungan seks. Pelincir jenis ini tidak akan mengganggu pH alat sulit atau menggalakkan pertumbuhan sebarang bakteria.

Kesimpulan

Ada banyak cara yang anda boleh lakukan untuk mengatasi masalah kencing kotor. Sebagai contoh, pastikan anda sentiasa menjaga kebersihan diri, membuang air kecil sebelum dan selepas seks dan minum air dengan mencukupi.

Selain langkah di atas, anda juga boleh cuba menukar jenis seluar dalam untuk mengurangkan UTI. Elakkan pemakaian seluar dalam daripada material yang ketat dan tidak boleh bernafas supaya bakteria tidak dapat membiak dengan mudah.

Lebih baik jika anda bertukar kepada penggunaan seluar dalam yang diperbuat daripada kapas. Kapas dapat menyerap lebihan wap air dan mengelakkan bakteria daripada membiak di sekitar kawasan uretra.

Artikel ini telah disiarkan di Hello Doctor. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Cara terbaik untuk mengelakkan jangkitan saluran kencing ialah dengan minum banyak air. (Gambar Rawpixel)

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.