
Ekoran itu, fungsi dan peranan universiti menjadi tanda tanya. Malah “keraguan” mengenai nilai ijazah pendidikan timbul kembali tatkala pandemik Covid-19 masih belum menemui titik noktahnya.
Forum Ekonomi Sedunia (WEF) dalam satu artikelnya menyebut, antara salah satu sebab konkrit mengapa mahasiswa mendaftar ke universiti adalah untuk mendapatkan akses kepada pengalaman kuliah yang sebenar, atau dengan erti kata lain, bersosial.
Hakikatnya, perjumpaan sosial, penglibatan dalam kelab dan persatuan di universiti dan sebagainya menjadi inti kepada pengalaman dan proses pembelajaran di alam universiti.
Oleh itu, timbul persoalan apakah nilai kehidupan universiti tanpa adanya ikatan sosial?
Dalam artikel yang sama juga, WEF turut menyatakan bahawa pandemik ini menimbulkan persoalan yang tidak terungkai – adakah Covid-19 bermaksud universiti akan menyusut dan merudum?
Ini memaksa kita berfikir semula mengenai hakikat peranan universiti.
Tanpa menafikan sama sekali kepentingan interaksi sosial dan penglibatan mahasiswa di pelbagai lapangan, penulis percaya ia adalah matlamat sampingan kendiri yang bertujuan meningkatkan nilai tambah dalam kalangan mahasiswa.
Namun begitu, jika hakikat peranan universiti diteliti semula, kita dapati peranan universiti menjurus kepada tempat di mana pemikiran bercambah, pemberdayaan bagi konsep ta’alim (mengajar) dan ta’dib (mendidik), di samping universiti adalah tempat yang paling arkitektonik dan strategik untuk mendidik, dan melatih individu serta memperbaiki masyarakat.
Bahkan tidak terkecuali, universiti turut berperanan memupuk adab dan akhlak yang “mahmudah” (terpuji) serta membangunkan kemahiran.
Justeru, jika diperhalusi, fungsi dan peranan universiti masih relevan dalam apa jua keadaan sekalipun.
Sekiranya mahasiswa memenuhi konteks yang dinyatakan sebagai fungsi dan peranan sebenar universiti itu, maka kelangsungan sebagai penuntut universiti tetap dapat diteruskan, sekalipun tanpa jasad yang hadir secara fizikal.
Tanpa keberadaan secara fizikal di universiti sekalipun, proses mendapatkan ilmu dan mencerap pengetahuan masih tidak terbatas.
Ini kerana kekuatan intelek tidak bergantung pada tempat kita berada, tetapi kepada tindakan kita sendiri.
Pandemik ini sebenarnya menjadi medan untuk menunjukkan hasil dan keberkesanan pembelajaran di universiti sebelum ini.
Antaranya kepimpinan diri sendiri ketika di rumah, pengurusan emosi serta pemupukan adab yang dapat dilihat melalui sesi kuliah atas talian.
Kekangan yang muncul tidak harus menjadikan tahap pemikiran mahasiswa menguncup, sebaliknya ia patut dijadikan alasan mengapa kesusahan dan keperitan menjadikan pemikiran mereka lebih berkembang.
Penulis adalah mahasiswa dan aktivis Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.