
Platform Asean-GCC-China kekal sebagai usaha strategik dalam meningkatkan friendshoring ekonomi yang boleh menggalakkan potensi pasaran Asean serta dalam mencari pengukuhan alternatif baharu bagi perdagangan dan pasaran, sekali gus berfungsi sebagai benteng terhadap impak tarif.
Beijing berusaha memanfaatkan langkah ini untuk memperluas naratifnya dalam gerakan mencari sokongan daripada Global South termasuk Asean, dan ini menjadi lebih signifikan susulan cubaan memikat Presiden Donald Trump oleh Arab Saudi, Qatar dan UAE.
Beijing mahu menggunakan peluang ini untuk memperkasa peranan teknologi, modal dan ekonominya sebagai payung kebergantungan bagi negara-negara tersebut, dan sidang kemuncak ini menyaksikan deretan langkah balas bagi menggunakan Asean sebagai kuasa lanjutan untuk menyediakan lebih banyak dorongan serta kapasiti institusi bagi memancing GCC ke dalam percaturan geopolitik lebih luas yang dipimpin China.
Situasi ini menimbulkan risiko baharu kepada Asean kerana usaha untuk berpaksi lebih rapat dengan alternatif anti-AS, termasuk inisiatif pimpinan China serta BRICS dan potensi gerakan (de-dollarisation) baharu, bakal mengundang tindak balas lanjut dari Washington – malah berpotensi untuk hilang jaminan ketenteraan Amerika Syarikat (AS).
Washington melihat Asean gagal memberi tentangan dan bantahan terhadap tindakan China melanggar norma serta undang-undang antarabangsa.
Di bawah pentadbiran Trump, rantau ini masih gagal memberi persepsi baharu yang positif dari segi pulangan dan tawaran kepada AS, berbanding komitmen serta sokongan pertahanan yang diberikan Washington kepada rantau ini.
Asean dilihat semakin rapat dengan China, dan turut lemah dalam mengangkat darjat kesahihan serta keluhuran norma dan undang-undang antarabangsa disebabkan kebergantungan kepada jiran terbesar di Beijing dan keterikatan ekonominya.
Memikat Asean dalam jaminan geopolitik baharu
Keterlibatan China dengan Asia Tenggara berubah daripada pendekatan diplomatik berhati-hati pada 1990-an kepada strategi pengaruh pelbagai dimensi menjelang 2020-an. Dari segi ekonomi, China kini menjadi rakan dagang terbesar Asean secara keseluruhan dan bagi kebanyakan negara anggotanya, sekali gus memperdalam pengaruh kuasanya.
Daripada BRI hingga RCEP, semua ini bertujuan menggantikan Jepun dan AS sebagai sumber sokongan ekonomi serta pertahanan tradisional bagi rantau ini.
Strategi pengaruh China di Asean akan dipertingkat, apabila Presiden Xi Jinping mahu memanfaatkan usaha rantau ini mencari pasaran dan sandaran alternatif terhadap tarif serta menunggang kepada kegusaran baharu rantau ini terhadap pendekatan Trump. Bagi Xi, tatkala China berusaha meluaskan pilihan alternatif terhadap impak tarif dan penyah-gandingan, rantau inilah laluan paling jelas dan mudah dalam menyediakan sumber serta potensi pasaran masa depan.
Beijing mengalu-alukan platform Asean-China-GCC yang diutarakan Malaysia untuk merapatkan pengaruh kedua-dua rantau dari segi kesesuaian dasar, perkongsian sumber dan keselamatan laluan perdagangan, di samping menggandakan naratif dan pengaruh serupa ke atas dua kuasa rantau tersebut, sambil berharap Asean kekal berkecuali.
Untuk Asean kekal berkecuali, ini memberi Beijing ruang bebas menentukan terma kuasa dan menggunakan alasan itu untuk menangkis pengaruh Barat.
Bagaimanapun, peningkatan pengaruh China menimbulkan kegusaran di Asean, dan Beijing sedar sikap agresif boleh memakan diri.
Pada masa yang sama, Beijing bersedia mengeksploitasi sebarang komitmen AS yang goyah: jika Washington berundur, China akan menonjolkan dirinya sebagai rakan setia untuk Asean.
Ketika Trump memulau sidang-sidang kemuncak Asean sebelum ini, China mengisi kekosongan itu dengan memuktamadkan perjanjian perdagangan RCEP.
Pendekatan diplomasi kolektif Asean gagal memberi cegah rintang berkesan untuk menangkis percubaan Beijing.
Beijing ingin memperkasa status hegemoni serantau dan cengkamannya, serta mengekang kehadiran kuasa AS di rantau ini dengan menggandakan cengkaman ekonomi, soft power dan politik yang sedia kukuh – daripada BRI ke RCEP – serta meluaskan gelombang baharu tawaran economic and defence friendshoring, khususnya dengan menggunakan perang tarif pentadbiran Trump sebagai peluang memperkukuh naratif bahawa AS tidak boleh dipercayai.
Beijing cuba memanfaatkan pertikaian tarif untuk menampilkan diri sebagai penyelamat dan pemimpin kepada rantau yang sudah bimbang terhadap kemelesetan lanjut ekonomi dan perdagangan global – lantaran kebergantungan tinggi rantau ini pada perdagangan dan eksport sebagai enjin ekonomi utama – dengan memenangi pertempuran soft power dan menggunakan platform ini sebagai penghalang berkesan agar kuasa serantau tidak berpaling kepada AS.
Beijing juga mahu menghalang Washington daripada titik konflik di Laut China Selatan dengan menekankan naratif bahawa penyelesaian krisis mestilah datang hanya daripada para penuntut hak dan bukannya campur tangan luar.
Asean perlu berani bebas dari kepompong
Berpaksikan kepada sandaran konvensional untuk tidak menyinggung China dilihat sebagai pertaruhan paling selamat bagi kebanyakan anggota Asean. Beberapa usaha bersifat kosmetik dan sekadar cukup syarat untuk menunjukkan solidariti serantau telah dimulakan – seperti latihan bersama buat julung kali pada 2023 – tetapi gagal memberikan cegah rintang berkekalan.
Manila membuat keputusan untuk melindungi kedaulatan dan haknya secara terbuka dan rasmi, mempunyai pakatan pertahanan dengan Washington dianggap pertaruhan paling selamat. Jakarta dan Kuala Lumpur berusaha mengekalkan tradisi keseimbangan strategik dan strategic hedging – mahu memperoleh perjanjian ekonomi terbaik dan jaminan daripada Beijing sambil tidak meninggalkan sokongan pertahanan Washington – tetapi berdepan dilema berpanjangan kerana gagal memenuhi pulangan dan sandaran yang diharapkan kedua-dua pihak.
Kemboja dan Laos dilihat hampir terus berada di bawah pengaruh orbit Beijing, manakala Thailand berusaha mengimbangi hubungannya dengan Beijing dan Washington. Hanya Vietnam memegang kad strategik lebih tinggi untuk memainkan pendekatan carrot and stick dengan China dan AS, walaupun mengekalkan pendekatan Four No’s yang mementingkan keamanan dan kestabilan dan tidak menyokong tindakan kekerasan dan konsep bamboo diplomacy.
Beijing berharap konsep berkecuali Asean berterusan kerana keadaan itu mengehadkan kehadiran kuasa langsung Washington dan akan menterjemah kepada kebebasan dan pengaruh lebih luas buat Beijing di rantau ini.
Namun, dengan prospek ekonomi dan demografi semakin merosot serta kemerosotan dalaman, Beijing berdepan perangkap masa sendiri untuk mencapai Matlamat ‘100-Year Marathon’ 2049 dan kini turut berhadapan Asean yang lebih skeptikal dan berhati-hati terhadap peranan ekonominya sebagai alat kebergantungan utama rantau ini pada masa depan.
Dalam unjuran jangka pendek, sistem alternatif yang merangkumi China, BRICS dan Global South, khususnya bersama GCC dan Timur Tengah, dilihat sebagai platform kedua friendshoring dan kepelbagaian bagi rantau ini sebagai sandaran alternatif kepada kebergantungan kepada Washington, namun ini mengundang risiko lebih mendalam.
Sebahagian besar ancaman yang muncul dan mendesak mungkin berlaku dekad ini: dengan Xi yang terperangkap dengan perangkap masa, berdepan kapasiti tentera yang relatif lebih lemah berbanding AS – sedangkan Washington akan memiliki kekuatan tentera paling berkuasa dan mantap bermula 2030-an hasil proses pembinaan semula dekad ini – Beijing dan Xi berkemungkinan terpaksa menggunakan sepenuhnya peluang masa ini dan kelebihan kuasa relatif kecil yang masih berbaki sepanjang dekad ini untuk melancarkan first strike capacity.
Dari perspektif Asean, meyakinkan Washington supaya benar-benar melabur di rantau ini memerlukan percaturan untuk menangani fokus dari kaca mata Trump. Dengan tarif baharu dan rundingan semula, pemain-pemain Asean juga mahu menghantar tawaran serta mesej baharu kepada Trump untuk menghidupkan semula potensi gabungan rantau ini bagi memikat Trump, menyedari AS kekal sebagai penyokong pertahanan utama rantau ini.
Jika pentadbiran Trump dapat diyakinkan bahawa kehilangan Asean bermakna China akan menang, mereka mungkin menyifatkan penglibatan semula sebagai memenuhi kepentingan persaingan AS. Sebaliknya, tanpa perubahan dalam pandangan dunia yang disesuaikan mengikut acuan Trump, Asean mungkin sukar meraih perhatian berterusan AS pada peringkat tertinggi.
Walaupun semua negara mengisytiharkan keinginan mengekalkan neutraliti dan konsep centrality and neutrality Asean, pada praktisnya setiap negara menyeimbangkan keperluan keselamatan, ekonomi dan pengalaman sejarah masing-masing yang masih berkisar kepada permanent interests of states.
Collins Chong Yew Keat adalah penganalisis strategi, keselamatan dan hubungan antarabangsa dari Universiti Malaya.
Artikel ini ialah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.