
Asean telah lama berpegang pada mantra konvensional strategic balancing and hedging, sambil menempatkan dirinya sebagai kuasa middle power memuncul dalam dinamik ekonomi dan geopolitik serantau, serta beroperasi dalam kerangka berkecuali. Blok ini berharap untuk memperoleh pulangan ekonomi dan jaminan keselamatan melalui kebergantungan luaran, namun tetap enggan memihak kerana gusar terpalit dalam impak percaturan kuasa luar. Ini menyaksikan Asean tetap menuntut jaminan keselamatan daripada Amerika Syarikat sambil mengelak mengambil pendirian jelas menentang Beijing kerana khuatir tindakan balas ekonomi.
Asean melihat Washington sebagai perisai keselamatan paling penting dan berkuasa, satu-satunya kuasa yang mampu menyaingi China, menegakkan perintah dan norma antarabangsa berasaskan peraturan, mempertahankan kesucian undang-undang maritim dan antarabangsa, serta menghalang pencerobohan China. Namun, kekangan tarif dan ekonomi dijadikan faktor untuk menyerlahkan kegusaran serantau, dengan harapan untuk memaksa Washington agar terus mempertahankan keberadaan kuasanya di rantau ini atas kepentingan menyekat China, dan menjadikan rundingan tarif sebagai pulangan positif kepada rantau ini.
Asean sendiri tidak mampu memikul peranan ini kerana strategi yang mengehadkan kapasiti diri serta ketakutan mencetuskan kemarahan Beijing.
Rantau ini kekal bergantung secara ekonomi dan kewangan pada China, tertarik kepada aliran modal mudah dan sedia ada daripada inisiatif Beijing seperti Belt and Road Initiative (BRI) dan Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP), sambil mengharap jaminan keselamatan AS. Walaupun menyedari ketidakseimbangan perdagangan sekian lama dengan AS dan menikmati lebihan dagangan, pelaku serantau terus meraih kelebihan ini, mencatatkan pertumbuhan pesat hasil akses terbuka ke pasaran AS dan rangsangan ekonomi serta prasarana yang bersandarkan biayaan China.
Pada masa yang sama, kuasa-kuasa serantau kekal kurang kehendak dan tekanan untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan atau menaikkan nisbah belanjawan pertahanan berbanding KDNK. Sebaliknya, mereka menumpukan keperluan domestik dan kelangsungan rejim sambil bergantung pada payung keselamatan AS, menggunakan naratif ‘ancaman China’ untuk melepaskan beban kepada pihak Washington.
Kini, Trump telah menamatkan status quo ketidakseimbangan ini. Hampir semua pelaku serantau tersentak ke arah realiti baharu ini, cuba membentuk kesepaduan dalaman yang lebih kukuh dan sinergi serantau untuk menampilkan pendirian lebih bersatu dalam rundingan tarif — namun masih bersandar pada China dan tetap gusar akan tindakan balas Beijing sekiranya Asean akur pada tuntutan Washington.
Akibatnya, Asean semakin terperangkap dalam strategi imbangan kuasa, dan tarif Trump dijadikan sebagai faktor penghubung dan pelengkap kepada gagasan baharu solidarity ekonomi serantau, dan ini menguntungkan Beijing. Penetapan semula tarif Trump digambarkan sebagai pelanggaran norma perdagangan juga untuk mengambil hati Beijing, dan mengelak tindak balas lebih keras sekiranya akur kepada tuntutan Washington iaitu tidak menjadi medan yang digunakan oleh China untuk mengelak daripada tarif AS.
Kesepaduan dalaman Asean juga rapuh dan semakin merosot. Rasa saling curiga serta fragmentasi strategik mendominasi respons Asean terhadap China. Setiap anggota mengejar kepentingan nasional sendiri, enggan berkompromi demi kebaikan serantau. Manila semakin terasing dalam pendirian kerasnya terhadap intimidasi Beijing, sementara negara lain terus berpegang pada pengimbangan dan diplomasi saluran belakang.
Peranan kuasa luar dan AS
Walau demikian, Asean sedar bahawa AS kekal sebagai jaminan keselamatan terpenting. Ia sedar sepenuhnya akan ancaman keselamatan yang kian meruncing, terutama di bawah bayang-bayang China yang semakin agresif di Laut China Selatan dan Taiwan. AS dianggap satu-satunya kuasa yang mampu menawarkan kapasiti cegah rintang yang boleh dipercayai dan talian hayat ekonomi bagi mengikis pengaruh Beijing.
Asean tidak dapat mengalihkan kebergantungan keselamatan hanya melalui pengimbangan konvensional atau peluasan ‘friend-shoring’ ekonomi dan pertahanan dengan kuasa jaringan bukan AS semata-mata, walaupun Malaysia selaku pengerusi Asean kini meningkatkan jangkauan ke negara Teluk, BRICS, Timur Tengah dan Selatan Global untuk mencari alternatif di luar tampuk pengaruh dan cengkaman Washington.
Tanpa pencegahan AS, rangka kerja institusi Asean tidak mencukupi untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan, biarpun ada usaha membina kepercayaan dan kerjasama alternatif.
AS kekal penyedia keselamatan paling dipercayai di rantau ini. Tiada negara selain AS memiliki keupayaan tentera laut biru yang cukup kuat untuk mencabar pangkalan bersenjata China di Laut China Selatan. Negara-negara Asean yang terbabit dalam tuntutan di Laut China Selatan bergantung pada tentera laut AS untuk perlindungan strategik, dan hanya AS menawarkan sistem pertahanan peluru berpandu, serta kapasiti ‘intelligence, surveillance and reconnaissance’ (ISR) yang canggih. China tidak menyediakan semua ini.
AS bukan sahaja masih berperanan sebagai penyedia sumber ekonomi dan keselamatan terpenting — ia kekal satu-satunya kuasa yang mempunyai kapasiti dan kesediaan menghalang China demi mengekalkan Asia Tenggara dan Indo-Pasifik yang bebas serta terbuka. Asean sedar hakikat ini. Ia tidak menganggap AS tidak relevan, sebaliknya melihat Trump sebagai penghalang sementara. Asean pula cuba membina rangkaian multipolar dengan China dan BRICS bagi mengimbangi tekanan Trump.
Perangkap kuno Asean
Percaturan strategik Asean silap sejak awal. Ia mahu menikmati faedah kedua-dua pihak sambil memaparkan imej kesatuan dan mendakwa sebagai penyeimbang kuasa neutral. Ia cuba menarik kuasa pesaing ke meja rundingan melalui Forum Serantau ASEAN (ARF) dan instrumen cegah rintang seperti Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) serta Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama (TAC). Namun usaha ini terbukti tidak berjaya sepenuhnya malah memberikan ruang lain kepada kuasa luar termasuk China menggunakan sikap neutral Asean dan ketiadaan AS untuk meningkatkan unjuran kuasanya di rantau ini.
Peranan tradisional Asean mencegah konflik gagal. Beijing terus bertindak agresif di Laut China Selatan dengan respons suram Asean — kecuali usaha Manila. Asean menzahirkan pendekatan yang saling tidak melengkapi dan bersifat hipokrasi: terbuka mengecam mekanisme pencegahan seperti AUKUS tetapi mengelak menyinggung Beijing.
Sementara AUKUS dituduh menggugat kestabilan dan mencetuskan perlumbaan senjata, kapal selam nuklear China terus beroperasi di Laut China Selatan sebagai sebahagian strategi tentera laut PLA — dengan hampir tiada reaksi tegas Asean.
Washington kini melihat Asean tidak berkesan menentang China. Tanggungjawab kini pada Asean untuk sedar tiada jalan pintas menyelesaikan cabaran ekonomi dengan mencipta laluan ekonomi alternatif semata-mata. Pasaran AS kekal penting, begitu juga teknologi dan tawaran keselamatannya. Pendekatan Trump tidak akan membuat Asean berpaling — namun pemain serantau menggunakannya untuk bermain tarik-tali, menyalahkan Trump, menafikan tanggungjawab terhadap pembiayaan keselamatan dan tampil sebagai mangsa.
Sedekad kebelakangan, Asean condong ke arah China dari segi ekonomi, strategi malah retorik — sambil gagal menghargai nilai kehadiran AS. Keadaan ini diperkuat melalui kebergantungan berterusan pada China dan diplomasi pengimbangan yang enggan menyinggung Beijing. Jika berterusan, Asean menghadapi akibat paling buruk — terasing dan terpaksa menanggung beban keselamatan sendiri.
Sendirian Asean bukan tandingan ketenteraan China tanpa pakatan pertahanan yang mengikat. Negara Teluk dan Timur Tengah tiada niat strategik masuk campur keselamatan Asia Tenggara kecuali jualan aset pertahanan, dan juga potensi sokongan terhad lantaran jarak dan kepentingan. Usaha Indo-Pasifik oleh Eropah terbatas kepada usaha negara individu di Eropah, tanpa jaminan keselamatan kukuh, dan kekangan jarak serta kesesuaian aset yang diguna pakai menjadi tanda tanya sokongan Eropah.
Kuasa serantau seperti Jepun dan Korea Selatan berfokus pada rantaian bekalan serta jaminan keselamatan bahan kritikal, bukan sokongan ketenteraan lanjutan. Bantuan Keselamatan Rasmi (OSA) Jepun dan eksport pertahanan Korea Selatan tidak dianggap alat utama yang menambah keupayaan pencegahan Asean. Maka Asean sedar AS satu-satunya kuasa yang sanggup dan mampu menyediakan payung ini — namun Washington menuntut layanan setimpal dan saling menghormati dalam landasan tarif, ekonomi dan juga sokongan ketenteraan.
Beijing kini memperhebat usaha pembentukan naratif, menyatukan Asia Tenggara menentang tarif AS dan menggambarkan Trump serta Washington sebagai pembuli ekonomi dan penyebab ketidakseimbangan perdagangan. Naratif ini menonjolkan China sebagai alternatif yang boleh dipercayai, stabil dan aman berbanding paksaan Washington, mempromosi model ekonomi anti-Barat berpusat Asia.
Sambil Beijing memikat Tokyo, Seoul dan Asean, ia bertujuan merapatkan jurang kepercayaan dan memanfaatkan pertikaian tarif untuk menarik rantau ini, walaupun sementara, sambil menggandakan sokongan hubungan antara rantau bagi menentang tarif dan polisi pentadbiran Trump. Matlamatnya melemahkan penglibatan AS di rantau ini, namun kunjungan Rubio menghantar mesej balas jelas.
Lawatan Rubio memberi Asean peluang untuk menegaskan komitmen kepada AS — rakan ekonomi dan keselamatan terpenting — serta menghentikan kecenderungan rantau yang semakin berat sebelah ke arah Beijing.
Collins Chong Yew Keat adalah penganalisis strategi, keselamatan dan hubungan antarabangsa dari Universiti Malaya.
Artikel ini ialah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.