Di sebalik warga emas

Di sebalik warga emas

Jika mahu membina masyarakat benar-benar peduli, langkah pertama ialah melihat penjaga sebagai manusia yang juga mempunyai keperluan—bukan sekadar pelengkap kepada keselesaan warga emas.

elderly orang tua

Dalam masyarakat yang semakin menua, perhatian sering diberikan kepada nasib warga emas, tetapi ada satu golongan yang jarang disebut—mereka yang menjaganya. Penjaga warga emas, sama ada anak, pasangan, cucu atau adik-beradik, hidup dalam tekanan yang senyap tetapi berpanjangan. Mereka bukan sahaja memikul tanggungjawab fizikal, tetapi juga beban emosi, kewangan dan sosial yang jarang diperhitungkan. Dalam diam, merekalah yang memastikan warga emas dapat menjalani hari-hari dengan maruah dan keselesaan.

Ironinya, merekalah golongan yang paling jarang dihargai. Dalam hiruk-pikuk kehidupan moden, para penjaga ini seakan wujud di ruang kabur—kelihatan tetapi tidak benar-benar dilihat.

Kisah yang tidak pernah diceritakan

Dalam sebuah pusat komuniti, seorang lelaki berusia lewat empat puluhan berkongsi kisah menjaga ibunya yang menghidap demensia. Seawal subuh, dia sudah bangun menukar lampin, menyediakan sarapan dan memastikan ubat diambil mengikut jadual. Dia bekerja sambilan dari rumah, tetapi pendapatannya tidak menentu. Katanya, “Saya bukan anak yang hebat, saya cuma tak sanggup hantar mak ke pusat jagaan. Tapi kadang-kadang saya pun letih.”

Kisah seperti ini berlaku di hampir setiap rumah. Ada anak perempuan yang berhenti kerja kerana menjaga ayah yang uzur. Ada cucu yang membesar terlalu cepat kerana memikul tanggungjawab yang lebih besar daripada usia mereka. Ada pasangan warga emas yang menjaga pasangan yang lebih uzur, dalam keadaan mereka sendiri sudah tidak sekuat dulu.

Di tengah-tengah kepenatan para penjaga ini, wujud juga insan seperti Faiz—anak muda yang memilih untuk tidak menunggu masa lapang atau peluang glamor untuk berbakti, tetapi hadir setiap hari sebagai sukarelawan di sebuah Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di pinggir bandar.

Tekanan yang tidak tertulis dalam buku

Realiti bagi penjaga di rumah jauh lebih berat. Menjaga warga emas memerlukan kesabaran yang tidak bertepi, kekuatan emosi yang sentiasa diuji dan ketabahan untuk tidak rebah walaupun diri sendiri sudah terlalu letih. Ada penjaga yang mengorbankan kerjaya. Ada yang berbelah bahagi antara menjaga anak dan menjaga ibu bapa. Ada yang hidup dalam konflik dalaman antara kesetiaan keluarga dan keperluan diri sendiri.

Dalam masyarakat yang sering memuji ‘pengorbanan anak soleh’, kita jarang bertanya apa harga yang mereka bayar. Ada yang hilang punca pendapatan, ada yang mengorbankan masa muda, ada yang hidup dalam isolasi sosial.

Kewangan yang menjadi hantu dalam rumah

Kos penjagaan bukan sekadar lampin, ubat atau alat sokongan. Ia menekan maruah dan pilihan hidup. Tidak semua keluarga mampu menggaji pembantu atau menghantar ibu bapa ke pusat jagaan profesional. Penjaga yang berhenti kerja pula menghadapi dilema sukar—bekerja tiada penjaga, tidak bekerja tiada pendapatan.

Dalam keadaan ini, ramai memilih untuk bertahan seadanya, mengorbankan masa depan sendiri untuk menjaga masa tua orang lain. Beban kewangan ini memendekkan nafas ramai penjaga, tetapi mereka tetap diam kerana percaya itu tanggungjawab moral.

PAWE dan had sempadan sokongan

PAWE ialah usaha baik yang wujud di banyak kawasan di Malaysia. Ia memberi ruang sosial dan rekreasi kepada warga emas yang masih sihat dan berdikari. Bagi sesetengah penjaga, kewujudan PAWE memberi ‘rehat’ sementara dan sedikit kelonggaran mental.

Namun, PAWE hanya memenuhi satu bahagian kecil daripada keperluan besar. Ia tidak menyentuh warga emas yang uzur, terlantar atau menghidap penyakit kronik. Penjaga bagi kategori ini tetap bergelut seorang diri. Sokongan yang mereka perlukan lebih luas daripada sekadar pusat aktiviti; ia melibatkan keperluan moral, mental dan fizikal yang lebih mendalam.

Faiz: Anak muda yang memilih jalan sunyi

Faiz, berusia awal empat puluhan, hadir ke PAWE bukan sebagai pelawat, tetapi sebagai tenaga tetap tanpa gaji. Ketika rakan-rakannya mengejar kerjaya di kota, Faiz memilih sesuatu yang dianggap pelik oleh sesetengah orang—menghabiskan petangnya bersama warga emas. Dia membantu mereka bersenam, menemani ketika membaca doa, menghiburkan mereka dengan bakat muziknya dan kadang-kadang hanya duduk mendengar cerita yang sudah diulang puluhan kali.

“Saya tak ada atuk dan nenek sejak kecil,” katanya perlahan. “Di sini saya belajar apa itu kesabaran dan apa itu kasih.”

Pengurus PAWE menyifatkan kehadirannya sebagai ‘udara baharu’ yang mengubah suasana pusat itu. Warga emas yang sebelum ini lebih suka menyendiri kini menantikan kehadirannya. Ada yang datang semata-mata kerana mahu berbual dengan Faiz. Dia menjadi jambatan kecil antara usia muda dan tua, antara harapan dan kenyataan.

Faiz pernah berkata, pengalaman di PAWE membuatkan dia lebih menghargai penjaga di rumah. “Kalau saya yang muda pun penat, saya tak boleh bayangkan orang yang jaga ibu bapa sendiri hari-hari,” luahnya. Kisah Faiz menunjukkan generasi muda tidak pernah hilang arah sepenuhnya; ada yang memilih jalan sunyi ini kerana percaya setiap manusia berhak merasa disayangi.

Belajar daripada negara lebih maju dalam penjagaan

Jepun, misalnya, sudah lama menyediakan insurans penjagaan jangka panjang yang menyokong bukan sahaja warga emas tetapi penjaga keluarga. Korea Selatan memperkenalkan jururawat komuniti yang melawat rumah secara berkala, memberi ruang kepada penjaga untuk bernafas. Negara Scandinavia seperti Denmark dan Sweden pula menyediakan cuti berbayar, kaunseling dan sokongan sosial khusus kepada penjaga.

Di Malaysia, usaha ini masih bertatih. Namun, melihat negara ini memberi harapan bahawa sokongan lebih komprehensif bukan perkara mustahil. Yang diperlukan hanyalah pengiktirafan bahawa penjaga ialah aset sosial yang perlu dijaga dengan serius.

Melihat penjaga dengan empati lebih luas

Jika kita mahu membina masyarakat yang benar-benar peduli, langkah pertama ialah melihat penjaga sebagai manusia yang juga mempunyai keperluan—bukan sekadar pelengkap kepada keselesaan warga emas. Faiz mengajar kita bahawa kasih sayang boleh hadir dalam pelbagai bentuk, tetapi ia hanya menjadi bermakna apabila wujud sistem yang memelihara kedua-dua belah pihak.

Penjaga tidak meminta ganjaran. Mereka hanya mahu rasa bahawa kehadiran mereka dihargai dan bahawa negara memahami beban yang mereka pikul saban hari. Selagi suara mereka tidak diberi ruang, selagi itulah mereka akan terus menjadi golongan yang terlepas pandang—walhal merekalah pemegang amanah terakhir bagi maruah warga emas kita.

 

Penulis ialah karyawan dan editor perunding terbabit dengan lebih 150 penerbitan sejak 2008.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.