
Pada pandangan pertama, seorang ahli politik Malaysia dan seorang legenda bola sepak dunia mungkin kelihatan seperti dua figura dari dunia berbeza. Namun, jika diteliti, Khairy Jamaluddin dan Cristiano Ronaldo berkongsi beberapa persamaan ketara.
Kedua-duanya figura berprofil tinggi, dikenali ramai, mempunyai pengikut besar di media sosial, dan setiap langkah mereka sentiasa menjadi perhatian umum.
Dalam konteks tempatan, Khairy atau lebih dikenali KJ mungkin tidak mencapai skala global seperti Ronaldo, tetapi pengaruhnya di Malaysia dan Asia Tenggara cukup besar. Sama seperti Ronaldo yang sentiasa menjadi tajuk utama di pentas bola sepak dunia. KJ pula sering menjadi topik hangat dalam landskap politik negara, baik dalam kerajaan mahupun di luar sistem parti.
Persamaan ini tidak terhenti di situ. Kedua-duanya juga mempunyai kaitan dengan Manchester United. KJ dikenali sebagai peminat tegar kelab gergasi Liga Perdana Inggeris itu, manakala bagi Ronaldo, United menjadi batu loncatan penting dalam kariernya sebelum muncul sebagai legenda bola sepak dunia, termasuk memenangi Ballon d’Or pertamanya.
Namun, hubungan Ronaldo dengan United bukan sekadar nostalgia. Rasa cintanya terhadap kelab itu membawanya kembali ke Old Trafford pada 2021 selepas mengembara ke Real Madrid dan Juventus — walaupun ketika itu turut dikaitkan dengan Manchester City, seteru setempat United. Kepulangannya disambut meriah, seolah-olah seorang anak pulang ke pangkuan keluarga.
Tetapi, kisah itu tidak berakhir indah. Hanya setahun kemudian, Ronaldo meninggalkan United sekali lagi selepas wawancara kontroversinya bersama Piers Morgan, susulan konflik dengan pengurus ketika itu, Erik ten Hag. Kepulangan yang penuh harapan akhirnya bertukar menjadi perpisahan yang pahit.
Dalam dunia politik Malaysia, kisah Khairy mempunyai persamaan hampir sama.
Bekas ketua Pemuda Umno itu dipecat pada 2023 selepas lantang mengkritik parti ketika kempen PRU15.
Seperti Ronaldo yang dikaitkan dengan City, Khairy juga ‘dipancing’ oleh parti politik lain, termasuk Bersatu pimpinan Muhyiddin Yassin yang impiannya mahu menjadi pengganti Umno sebagai platform perjuangan orang Melayu.
Namun, seperti Ronaldo yang hatinya tetap pada United, Khairy juga berulang kali menegaskan parti di hatinya tetap Umno.
Apabila Presiden Umno Zahid Hamidi membuka pintu kepada bekas ahli melalui inisiatif ‘Rumah Bangsa’, Khairy antara yang terawal menghantar surat rayuan.
Jumaat lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno membuat keputusan besar menerima semula 6,252 bekas ahli termasuk nama besar seperti Hishammuddin Hussein dan Syed Hamid Albar.
Sehari selepas diterima masuk, Khairy terus memainkan peranan sebagai ahli Umno dengan bertemu pimpinan Sungai Buloh diketuai Megat Firdouz Megat Junid.
Khairy kini kembali, seperti Ronaldo kembali ke Old Trafford suatu ketika dahulu.
Apa selepas ini?
Persoalan paling besar kini bukan lagi tentang kepulangan Khairy, tetapi bagaimana Umno mahu memanfaatkannya.
Menariknya, beliau tidak meletakkan syarat terbuka mengenai kedudukannya selepas kembali. Ini memberi ruang kepada kepimpinan parti untuk ‘mengatur semula posisi’ beliau — satu langkah yang boleh menjadi peluang atau risiko.
Dalam tempoh di luar parti, Khairy membuktikan beliau masih relevan. Sebagai penyampai radio, beliau bukan sahaja kekal popular, malah berjaya memenangi anugerah yang menunjukkan beliau mempunyai kekuatan komunikasi yang jarang dimiliki ahli politik lain.
Atas faktor itu, jawatan seperti ketua penerangan Umno mungkin dilihat sesuai. Parti yang bergelut dengan persepsi awam memerlukan figura yang mampu berkomunikasi dengan berkesan, khususnya kepada pengundi muda dan bandar.
Ada juga spekulasi tentang kemungkinan penyertaannya ke Kabinet kerajaan perpadun. Namun, realitinya agak sukar dalam masa terdekat memandangkan beliau bukan ahli Dewan Rakyat. Laluan melalui pelantikan sebagai Ahli Dewan Negara mungkin wujud, tetapi membuka persoalan lain — bagaimana penerimaan dalam kalangan pemimpin sedia ada?
Persoalan kerusi
Satu lagi isu yang tidak kurang menarik ialah soal kerusi.
Tiada siapa boleh melupakan bagaimana Khairy dipindahkan dari kerusi tradisinya di Rembau yang dianggap selamat ke Sungai Buloh, kubu kuat Pakatan Harapan pada PRU15. Walaupun kalah, beliau berjaya mengurangkan majoriti dalam tempoh kempen kurang sebulan — satu pencapaian tidak boleh dipandang ringan.
Kini, dengan kepulangannya ke Umno, persoalan timbul: di mana Khairy akan bertanding?
Beliau sendiri menolak kemungkinan kembali ke Kepala Batas, kerusi pernah diwakili bapa mentuanya, Allahyarham Abdullah Ahmad Badawi. Ini memberi isyarat beliau tidak mahu bergantung kepada legasi semata-mata.
Melihat kepada kekuatan dan profilnya, Khairy lebih sesuai di kerusi bandar. Sungai Buloh mungkin pilihan logik untuk percubaan kedua. Malah beliau juga adalah ahli Umno kawasan itu.
Putrajaya juga sering disebut sebagai kawasan berprofil tinggi yang memerlukan calon dengan daya tarikan nasional. Negeri Sembilan pula kekal dalam radar, walaupun Rembau kini diwakili Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan.
Apa pun keputusannya, jelas Khairy bukan lagi pemain biasa sebaliknya kini ‘free agent’ bernilai tinggi dalam politik Umno.
Seperti Ronaldo, kepulangan Khairy ke ‘rumah lama’ sarat dengan harapan, emosi dan juga risiko.
Apa pun yang berlaku selepas ini, satu persamaan mungkin tidak diingini oleh kedua-dua pihak ialah melihat episod perpisahan berulang kembali — seperti Ronaldo yang akhirnya terpaksa mengangkat beg meninggalkan Old Trafford buat kali kedua.
Ketika ini, Umno memerlukan Khairy untuk merapatkan jurang dengan pengundi moden, memperbaiki imej dan menghidupkan semula naratifnya.
Pada masa sama, Khairy juga memerlukan Umno sebagai platform politik yang masih mempunyai akar umbi paling luas dalam kalangan orang Melayu.
Namun, seperti dalam bola sepak, nostalgia sahaja tidak cukup untuk menjamin kejayaan. Umno dan Khairy perlu memastikan kisah ‘reunion’ ini menjadi detik kebangkitan parti yang pernah menjadi tonggak utama kerajaan.
Penulis ialah pengarang Meja Berita Bahasa Melayu FMT.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.