Perang Iran tak pernah berlaku

Perang Iran tak pernah berlaku

Sejarah perang dunia moden menyediakan banyak contoh taktik silap mata ini. 'Perang Iran' tidak berlaku sepertimana 'Perang Vietnam' juga tidak berlaku.

iran missiles

Pada tahun 1991, pemikir falsafah Perancis Jean Baudrillard mengarang sebuah buku nipis berjudul Guerre du Golfe n’a pas eu lieu (Perang Teluk Tidak Pernah Berlaku). Tulisan ini dikarang ketika rantau Asia Barat sedang berada di kemuncak konflik apabila Kuwait diserang oleh Saddam Hussein.

Keanehan ini mencetuskan suatu misteri pada karya ini. Sesiapa yang waras tahu perang sedang berlangsung waktu itu. Persoalannya, mengapa Baudrillard mengisytiharkan Perang Teluk tidak berlaku langsung?

Hakikatnya, Baudrillard bukanlah berkhayal atau mengigau di siang hari. Pemikir pasca moden ini sebenarnya cuba membezakan dua realiti perang: pertama adalah pertempuran bersenjata yang berlaku di lapangan (nyata dan berdarah); kedua, adalah naratif ‘perang’ yang disiarkan di ruangan media.

Kedua-duanya membawa naratif jauh berbeza. Pun demikian, naratif medialah yang mewarnai ‘realiti’ perang di luar zon konflik. ‘Realiti’ inilah yang dirasai oleh sebahagian besar masyarakat dunia.

Maknanya, ‘realiti’ perang yang dikecapi oleh masyarakat dunia (di luar zon konflik) adalah realiti yang ditapis dan dikarang oleh media, yang menurut Baudrillard, jauh berbeza dengan hakikat perang yang berdarah di kawasan teluk.

Baudrillard bermain dengan konsep seperti ‘simulacra’, ‘stimulasi’ dan ‘hyperreality’ untuk memerihalkan bagaimana media berfungsi sebagai kilang imaginasi dalam merencanakan sebuah ‘realiti’ peperangan.

Perang bergerak dalam banyak gelanggang

Membaca Baudrillard sewaktu dunia hari mendepani krisis ekonomi dan makanan yang dicetuskan oleh peperangan di Asia Barat mengingatkan kita peri penting medium media dan imaginasi dalam peperangan.

Bahkan, ianya sama penting dengan pertempuran bersenjata di lapangan.

Sebab itu, memberi ‘nama’ dan ‘kata’ pada sesuatu konflik adalah kerja penting media. Melalui nama, naratif konflik tersebut dapat diposisikan dan imaginasi warna mula diwarnakan.

Melaluinya, sesuatu kerangka akan diketengahkan, dan fakta-fakta yang muncul daripada peperangan tersebut akan ditafsir, baik secara langsung atau tidak langsung, melalui kerangka tersebut.

Misalnya, pada 28 Feb apabila AS dan Israel menyerang Iran melalui udara dan menyasarkan pangkalan tentera dan infrastruktur nuklear. Rentetan daripada serangan itu, ramai terkorban termasuk pemimpin tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei dan anak-anak sekolah di Minab.

Bagaimana siri-siri pertempuran dan konflik ini diperihalkan di media-media arus perdana (baca: media konglomerat Barat)? Mereka menamakannya sebagai ‘Perang Iran’. Imaginasi dan realiti perang ini kemudian mula diikat dengan nama ini.

Walhal, bukan Iran sahaja yang bertempur dan bersilat di medan perang ini. Dari sudut geografi, konflik ini melangkaui sempadan Iran. Serangan bom dan dron turut hinggap di kawasan wilayah jajahan Israel dan negara-negara teluk.

Tatkala AS dan Israel cuba membedil infrastruktur penting Iran, Iran membalas dengan menyerang aset-aset ketenteraan AS di negara-negara teluk seperti Kuwait, UAE dan Qatar.

Jadi, andai dinilai dari sudut geografi sahaja, bukankah ini lebih sesuai dinamakan sebagai ‘Perang Teluk’. Mengapa ‘Iran’ sahaja yang disabitkan dalam konflik ini?

Kalau tidak geografi sekalipun, Iran bukan satu-satu aktor utama dalam perang ini. AS dan Israel adalah aktor dan pencetus konflik berdarah hari ini. AS dan Israel yang memulai serangan haram terhadap Iran sewaktu proses negosiasi sedang berjalan.

Nah, mengapa tidak perang ini disebut sebagai ‘Perang AS-Israel’, terutama mereka yang memulainya dulu?

Nama adalah medan perlawanan

Menamakan Iran dalam membentuk ‘realiti’ perang ini sebenarnya berfungsi untuk menyembunyikan aktor-aktor lain. ‘Perang Iran’ ini tidak pernah berlaku. Tidak seperti mana naratif yang diposisikan melalui ungkapan tersebut.

Sejarah perang dunia moden menyediakan banyak contoh taktik silap mata ini. ‘Perang Iran’ tidak berlaku sepertimana ‘Perang Vietnam’ juga tidak berlaku.

Konflik yang berlaku di Vietnam bermula pada tahun 1955 bukan konflik diciptakan oleh orang Vietnam. ‘Perang Vietnam’ ini dipaksakan ke atas mereka, pada awalnya oleh Perancis pada 1945, dan kemudian AS bermula 1954.

Maksudnya, ‘Perang Vietnam’ tidak berlaku. Apa yang berlaku hanyalah perang yang dipaksakan oleh Perancis dan AS terhadap Vietnam.

‘Konflik Israel/Palestin’ juga sebenarnya tidak pernah berlaku. Israel sudah menjajah dan menjarah tanah Palestin sejak 1948, dan kemudian menguasai Tebing Barat, Jerusalem Timur dan Gaza sejak 1967. Ini bukan konflik antara Israel dengan Palestin.

Sebaliknya, ini adalah penjajahan pendudukan (settler colonialism) yang dipaksakan oleh Israel di tanah Palestin, dan perlawanan yang dilancarkan oleh masyarakat Palestin adalah perlawanan untuk memerdekakan tanah air mereka.

Maka, ‘Konflik Israel/Palestin’ tidak pernah berlaku. Apa yang berlaku adalah perlawanan Palestin menentang kuasa kolonial Israel. Kita pun, sewaktu berjuang menentang British untuk memerdekakan negara menyebutnya sebagai ‘perjuangan antikolonial, bukannya ‘Konflik British-Malaya’.

‘Perang Iran’ juga tidak laku

Sesuatu perang jarang dinamakan atas pihak yang melancarkannya, dan lebih sering disandarkan pada pihak diheret masuk tanpa rela ke dalam pertempuran.

Dengan itu, mangsa perang yang dipaksa memikul tanggungjawab untuk menjelaskan tindakan mereka. Mereka menanggung beban kesalahan, manakala pencetus konflik bersembunyi di latar dengan jenayah-jenayahnya. Melontar batu sembunyi tangan, bak kata pepatah Melayu.

Bukan sedikit jenayah-jenayah peperangan dilakukan AS cuba disenyapkan (walaupun akhirnya gagal kerana mulut Donald Trump susah ditutup) dalam peperangan kali ini.

Sebab itu, media konglomerat milik kelas-kelas elit di AS cuba menjual cerita ‘Perang Iran’ versi mereka sendiri. Malangnya, ‘realiti’ yang cuba dijual CNN dan Fox News (dan kawan-kawannya) ini tidak sepenuhnya laku di pentas antarabangsa.

Justeru, membaca Baudrillard hari ini juga menyerlahkan perbezaan antara zaman kita dan zaman beliau. Dahulu, sekitar tahun 1990-an media AS masih mendominasi dalam merencana realiti pembaca.

Hari ini, Baudrillard tidak perlu lagi menulis sebuah lagi buku nipis ‘Perang Iran Tidak Pernah Berlaku’. Sebab masyarakat dunia rata-ratanya sudah jelak dengan penipuan media elitis ini.

Helah media ini sudah terbongkar sehabisnya. Hakikatnya, tanpa Baudrillard pun warga dunia boleh menuding jari dan berteriak dengan yakin kepada media-media konglomerat: “Perang Iran VERSI KAMU tidak pernah berlaku.”

 

Penulis ialah pengarah eksekutif Citizens International.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.