6 kluster baru dikesan di 5 negeri

6 kluster baru dikesan di 5 negeri

Kluster Mesra dan Megah dikesan di Sabah, manakala 3 lagi kluster di Negeri Sembilan, Selangor dan Johor.

Kes indeks dalam 4 daripada 6 kluster baru itu dikesan melalui saringan individu bergejala.
PUTRAJAYA:
Enam lagi kluster baru Covid-19 dikesan di Sabah, Negeri Sembilan, Selangor, Sarawak dan Johor.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media hari ini berkata, kluster Mesra dan Megah dikesan di Sandakan, Sabah.

Katanya, kluster Kaya dikesan di Seremban, Negeri Sembilan dan Putrajaya, kluster Bah Kayu di Gombak dan Titiwangsa, Kuala Lumpur, kluster Baki dikesan di Kuching, Sarawak serta kluster Kempas di Johor Bahru dan Kulai, Johor.

2 kluster di Sabah

Hisham berkata, kes indeks kluster Mesra disahkan positif hasil saringan individu bergejala pada 5 Okt lalu.

Katanya, saringan kontak rapat mendapati 14 lagi positif Covid-19, manakala 12 individu negatif dan 37 orang masih menunggu keputusan.

Bagi kluster Mesra, beliau berkata, kes indeks dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 7 Okt lalu.

Katanya, saringan kontak rapat mengenal pasti 21 lagi kes positif, 2 orang negatif dan 92 masih menunggu keputusan.

Kluster Baki

Hisham berkata, kes indeks kluster di Kuching ini disahkan positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 17 Okt lalu sebelum dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.

Katanya, saringan kontak rapat mendapati 4 lagi kes positif, 34 individu negatif dan 29 orang masih menunggu keputusan.

Kluster Kaya

Beliau berkata, kes kluster ini dikenal pasti positif hasil saringan di tempat kerja pada 24 Okt lalu dan mereka dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh serta Hospital Tuanku Jaafar.

Sehingga tengah hari tadi, 55 daripada 63 individu yang disaring disahkan positif Covid-19, 6 dikesan negatif dan 2 masih menunggu keputusan.

Kluster Bah Kayu

Hisham berkata, kes indeks kluster ini disahkan positif Covid-19 selepas pulang dari Sabah pada 13 Okt dan saringan kontak rapat mengenal pasti 16 lagi kes positif.

Katanya, sehingga tengah hari tadi, 628 orang sudah disaring dalam kluster ini, dengan 17 kes positif, 591 orang dilaporkan negatif dan 20 individu masih menunggu keputusan.

Kluster Kempas

Beliau berkata, kes indeks bagi kluster baru di Johor Bahru dan Kulai ini dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 22 Okt lalu sebelum dimasukkan ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom di Kluang.

Katanya, saringan kontak rapat mendapati 7 lagi kes positif, dengan 28 individu negatif dan 170 orang masih menunggu keputusan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.