
KUCHING: Perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan di Kuching selama 14 hari bermula 9 November ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Douglas Uggah Embas hari ini.
Uggah yang juga timbalan ketua menteri 1 berkata, keputusan itu diambil selepas menilai situasi dengan mengambil kira kes jangkitan tempatan terkumpul yang direkodkan di daerah tersebut iaitu 151 kes dalam tempoh 14 hari lalu.
“Pergerakan rentas daerah dalam negeri dibenarkan kecuali keluar dan masuk ke daerah Kuching. Prosedur operasi standard (SOP) akan dikeluarkan esok.
“Pergerakan rentas negeri dari Semenanjung, Sabah dan Labuan tidak dibenarkan kecuali dengan kebenaran polis,” katanya pada sidang media harian Covid-19 hari ini.