6 kluster libat 4 negeri, 2 wilayah dikesan

6 kluster libat 4 negeri, 2 wilayah dikesan

Kluster Covid-19 dikesan melibatkan Sabah, Selangor, Melaka, Johor, KL, dan Putrajaya.

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mengesan 6 lagi kluster baru Covid-19 di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Johor dan Putrajaya

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster berkenaan adalah kluster Nahaba yang berlaku di Kota Belud, kluster Numbak di Kota Kinabalu, Sabah, manakala kluster Perigi di Klang (Selangor), kluster Seri Terapi di Kepong (Kuala Lumpur dan juga di Alor Gajah Melaka), kluster Padang di Kota Tinggi (Johor) dan kluster Harmoni di Putrajaya.

“Kluster Nahaba melibatkan daerah Kota Belud di Sabah. Kes indeks bagi kluster ini, iaitu kes ke-35,808 dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 4 Nov. Saringan kontak rapat mengesan 24 lagi kes positif Covid-19.

“Kesemua kes dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah Seri Bayu Pirasan, Kota Belud.

“Sehingga 9 Nov sejumlah 65 individu disaring, dengan 25 kes dikesan positif Covid-19, iaitu 24 kes baru dan 40 individu dikesan negatif,” katanya dalam sidang media hari ini.

“Bagi kluster Numbak pula, ia melibatkan daerah Kota Kinabalu, Sabah. Kes indeks bagi kluster ini, iaitu kes ke-22,036 dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan kemasukan ke wad di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Okt dan saringan kontak rapat mengesan 7 lagi kes positif.

“Sehingga 9 Nov, sejumlah 21 individu disaring, dengan 8 kes dikesan positif Covid-19, 7 individu dikesan negatif dan 6 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Tambah Noor Hisham, kluster Perigi di Klang, Selangor, membabitkan kes indeks ke-18,667 yang dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan di tempat kerja pada 15 Okt dan saringan kontak rapat mengesan sebanyak 38 lagi kes positif Covid-19.

“Kesemua kes dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Sehingga 9 Nov, 39 kes dikesan positif Covid-19 dan 85 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Kluster Baharu pula melibatkan daerah Kepong di Kuala Lumpur dan daerah Alor Gajah di Melaka.

Noor Hisham berkata, kes indeks bagi kluster ini, iaitu kes ke-36,180 dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 3 Nov dan kes dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Saringan kontak rapat mengesan sebanyak 11 lagi kes positif Covid-19. Sehingga 9 Nov sejumlah 126 individu disaring, dengan 12 kes dikesan positif, 8 individu dikesan negatif dan 106 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Jelas Noor Hisham, kluster Padang pula dikesan di daerah Kota Tinggi, Johor dan kes indeks bagi kluster ini, iaitu kes ke-39,210 dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 5 Nov.

“Saringan kontak rapat mengesan sebanyak 4 lagi kes positif Covid-19. Kesemua kes dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

“Sehingga 9 Nov sejumlah 338 individu disaring, 5 kes dikesan positif, 173 individu dikesan negatif dan 160 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Noor Hisham berkata, kluster Harmoni pula dikesan di Putrajaya dan kes ini dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan di tempat kerja pada 7 Nov dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Sehingga 9 Nov, sejumlah 50 individu disaring, dengan 5 kes dikesan positif Covid-19, 28 individu dikesan negatif dan 17 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.