Lelaki mangsa rabies ke-5 di Sarawak tahun ini

Lelaki mangsa rabies ke-5 di Sarawak tahun ini

Mangsa itu dimasukkan ke hospital selepas mengalami lemah anggota badan dan tidak mampu berjalan selain kesukaran tidur akibat halusinasi, hilang selera makan dan kesukaran untuk minum.

Kes terbaharu itu menjadikan jumlah kes penyakit rabies yang menjangkiti manusia di Sarawak meningkat kepada 5 bagi tahun ini.
KUALA LUMPUR:
Seorang lelaki berusia 42 tahun maut akibat dijangkiti virus rabies di Sarawak, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata individu itu meninggal dunia pada pukul 6.53 pagi pada 20 Okt di Hospital Umum Sarawak (HUS), dan disahkan dijangkiti virus rabies melalui ujian makmal yang dijalankan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada tarikh sama.

Katanya individu itu dimasukkan ke HUS pada 15 Okt selepas mengalami lemah anggota badan dan tidak mampu berjalan selain kesukaran tidur akibat halusinasi, hilang selera makan dan kesukaran untuk minum.

“Siasatan mendapati tiada sebarang sejarah gigitan anjing atau haiwan lain berlaku dalam kes ini. Beliau ada memelihara 7 ekor kucing dengan 5 daripadanya mendapat suntikan vaksin anti-rabies dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), sehari selepas mengalami gejala.

“Kesemua kucing ini sihat dan tiada perubahan tingkah laku. Keluarga kes memaklumkan tiada haiwan yang didapati sakit atau mati dalam tempoh 6 bulan di kawasan lokaliti rumah kes,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kes terbaharu itu menjadikan jumlah kes penyakit itu yang menjangkiti manusia di Sarawak meningkat kepada 5 bagi tahun ini dan kes ke-27 sejak wabak rabies diisytiharkan di Sarawak pada 31 Julai 2017.

Beliau berkata walaupun kes terbabit tidak dapat dikaitkan dengan sejarah gigitan anjing atau haiwan, secara umumnya diketahui bahawa jangkitan rabies disebabkan oleh gigitan haiwan terjangkit dengan virus rabies.

“Sarawak masih belum bebas rabies. Pastikan haiwan peliharaan mendapat suntikan vaksin anti-rabies,” katanya.

“Orang awam dinasihati, segera mendapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital berhampiran jika digigit oleh haiwan liar mahupun haiwan peliharaan, selepas mencuci bahagian tubuh yang digigit dengan menggunakan air mengalir dan sabun selama sekurang-kurangnya 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.