
PETALING JAYA: Kumpulan Pendidikan Brickfields Asia College (BAC) memenangi Anugerah Perniagaan Asean bagi inisiatif berkaitan Covid-19 institusi pendidikan itu di rantau Asia Tenggara.
Anugerah Perniagaan Asean 2020 diadakan secara dalam talian semalam untuk memberi penghormatan kepada perniagaan yang memberi sumbangan penting untuk langkah pencegahan Covid-19.
Pengarah Urusan BAC, Raja Singham berkata, pihaknya rendah hati menerima anugerah itu yang akan dijadikan peringatan kepada kumpulan pendidikan terbabit untuk meneruskan dan meningkatkan usahanya memerangi pandemik itu.
“Anugerah ini untuk semua wira yang membantu kami menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan ketika penularan pandemik ini.
“Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada jutaan petugas barisan depan di seluruh Asean yang bertungkus lumus memastikan keselamatan kita. Keberanian, ketabahan dan pengorbanan anda memberi inspirasi kepada kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Antara inisiatif BAC ketika pandemik ialah membantu pelbagai NGO dan pemimpin masyarakat mengumpul dana serta mengagihkan bantuan kepada golongan memerlukan menerusi GiveBACK.my.
Lebih RM136,500 berjaya dikumpul menerusi pelbagai kaedah yang memanfaatkan kira-kira 4,800 individu.
Ia juga bekerjasama dengan NGO untuk menawarkan peluang pekerjaan kepada masyarakat berkeperluan khas, termasuk memperuntukkan ruang dalam premis universiti untuk operasi Tender Hearts Cafe, sebuah perusahaan sosial yang dikendalikan orang kelainan upaya.
Menerusi BACflix, lebih 175,000 pelajar dapat belajar dalam talian secara percuma, manakala 10,000 rakyat dilatih semula dan ditingkatkan kemahiran secara percuma melalui Project Deep, satu lagi inisiatif BAC.
BAC turut berikrar mengekalkan semua kakitangannya tanpa sebarang potongan gaji ketika pandemik dan mengadakan aktiviti untuk mengekalkan kesihatan mental serta fizikal pekerja.
“Untuk kebajikan pelajar, tindak balas pantas BAC terhadap pandemik membolehkan mereka (dari Malaysia, Singapura, Hong Kong) beralih daripada kelas bersemuka ke pembelajaran dalam talian dan mengelakkan sebarang gangguan dalam pelajaran mereka,” kata Raja Singham.