
Pesuruhjayanya Razman Zakaria berkata, kemelut di Perak merupakan isu yang berkait dengan politik di peringkat nasional.
“Soal pembentukan kerajaan baru kita serah kepada pucuk pimpinan. Setakat ini PAS Perak tunggu arahan dan keputusan pucuk pimpinan berhubung pembentukan kerajaan negeri.
“Ia melibatkan politik nasional,” katanya kepada pemberita selepas sidang media Ahmad Faizal Azumu di kediamannya.
Razman berkata, PAS Perak komited untuk mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di negeri itu berikutan kemelut politik yang berlaku.
Beliau yang juga ADUN Gunung Semanggol berkata, ketetapan itu dibuat selaras dengan keputusan pucuk pimpinan untuk menyokong kerajaan yang dibina atas permuafakatan antara PAS, PPBM dan Umno.
“Mantan menteri besar (Ahmad Faizal ) telah menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, yang meminta supaya diterima mana-mana calon (MB).
“Jadi kita telah bersetuju untuk mempertahankan kerajaan PN yang kita dukung bersama.
Ketika ditanya mengenai status hubungan PAS dengan Umno di Perak, Razman berkata, ia berjalan seperti biasa sama seperti hubungan parti itu dengan PPBM.
“Prinsip PAS, kita tidak akan bersama-sama PPBM sahaja tanpa Umno dan tidak akan bersama-sama Umno tanpa PPBM,”katanya.
Dalam pada itu, Ketua Penerangan Pemuda PAS Perak, Abd Qahar Syam yang berkata, setiap langkah yang diambil oleh PAS negeri adalah berpandukan arahan kepimpinan pusat.
“Sekarang kita tunggu arahan pimpinan pusat (sama ada akan sertai pentadbiran baru atau tidak),” katanya ringkas kepada FMT.
Pentadbiran Faizal tumbang selepas beliau hilang sokongan majoriti wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN), berikutan usul undi percaya yang dibentangkan untuk undian belah bahagi semalam.
48 ADUN tidak menyokong, berbanding 10 menyokong dengan satu undi rosak.
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dalam kenyataan semalam berkata, parti itu tidak akan menyertai kerajaan negeri yang baru, selepas wakil rakyatnya mengundi menyokong Faizal dalam undian usul berkenaan.
Menyusuli kenyataan Takiyuddin, Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan berkata, parti itu mahu PAS dan PPBM terus bersama-sama Umno menerajui negeri Perak.
Difahamkan pimpinan PAS akan mengadakan perbincangan dalam waktu terdekat berhubung kemelut di Perak, termasuk membabitkan status kerjasama dengan Umno dalam Muafakat Nasional (MN) dan PN.