PAS Perak mohon ampun kepada Sultan Perak

PAS Perak mohon ampun kepada Sultan Perak

Parti akan mengutus surat rasmi memohon maaf atas kekhilafannya membatalkan menghadap baginda.

Ketua PAS Perak, Razman Zakaria, yang juga ADUN Gunung Semanggol, pada sidang media memohon maaf atas ‘kekhilafan’ tidak menghadap Sultan Perak selepas diarah PAS Pusat. Beliau diapit ADUN Selama, Akmal Kamaruddin, dan ADUN Kubu Gajah, Khalil Yahaya.
IPOH:
PAS Perak memohon ampun kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah atas kekhilafan tidak menghadap selepas dititahkan pada 8 Dis lalu.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, berkata sehubungan itu PAS Perak akan mengutus surat memohon ampun dan maaf atas perkara tersebut.

“PAS Perak sentiasa menjunjung tinggi institusi Kesultanan Perak Darul Ridzuan dan menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bagi terhadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah,” katanya pada sidang media di Pejabat PAS Perak.

Permohonan maaf secara terbuka ini disertai dua lagi ADUN PAS di Perak, yang diarah PAS Pusat supaya membatalkan pertemuan dengan Sultan Perak, ketika Istana Kinta sedang menguruskan hal menteri besar baharu dan pembentukan kerajaan negeri.

Razman berkata surat memohon maaf akan dihantar ke pejabat Sultan Perak di Istana Kinta petang ini.

Sebelum ini, PAS Pusat tanpa butiran lanjut mengarahkan Razman, Mohd Akmal Kamaruddin (Selama), dan Khalil Yahaya (Kubu Gajah) membatalkan pertemuan mereka dengan Sultan Nazrin.

Ketika dihubungi pemberita, Razman memaklumkan mereka masih menunggu keputusan PAS Pusat mengenai sokongan kepada calon UMNO untuk jawatan menteri besar, Saarani Mohamad.

Hal ini hanya selesai keesokannya, selepas Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, selesai berurusan dengan pemimpin PPBM dan UMNO. Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan berkata parti itu tidak mahu terkhilaf dalam membuat keputusan, dan berkata ADUNnya akan menghadap Sultan Perak selepas mendapat titah.

Sebelum itu, PAS mengumumkan ia tidak akan menyertai pembentukan kerajaan baharu di Perak susulan penyingkiran Timbalan Presiden PPBM, Ahmad Faizal Azumu.

Pada sidang media hari ini, Razman mengesahkan Hadi memohon menghadap Sultan Perak.

“Surat daripada presiden itu, ya betul,” katanya ringkas, tanpa menjawab di mana pertemuan akan berlangsung.

Beliau juga mengesahkan PAS sudah menyerahkan senarai calon untuk jawatan exco.

Saarani, yang dilantik menteri besar semalam, hari ini berkata lantikan exco daripada PAS hanya boleh dimuktamadkan Sultan Nazrin, mengatakan beliau hanya boleh mencadangkan nama tetapi kata putus di tangan baginda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.