Susulan ‘Langkah Perak’ Hamzah cadang diadakan gagasan perdana PN, BN, GPS

Susulan ‘Langkah Perak’ Hamzah cadang diadakan gagasan perdana PN, BN, GPS

Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin berkata ia bagi memastikan kelangsungan permuafakatan tiga parti itu.

Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin berkata satu piagam persefahaman politik antara PN, BN dan GPS perlu segera direalisasikan.

PETALING JAYA:Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu bersatu di bawah satu gagasan perdana untuk memastikan kemenangan pada pilihan raya umum ke-15, kata Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin.

Beliau berkata gagasan itu harus menggubal ‘Piagam Persefahaman Politik’ untuk menyakinkan rakyat bahawa ia menawarkan kestabilan politik kukuh serta keupayaan untuk terus mentadbir negara melalui dasar-dasar berkesan.

“Gagasan itu bakal menjulang wawasan dan aspirasi yang diperjuangkan oleh parti-parti politik yang bergabung di bawahnya, kata beliau.

Umno-BN dan GPS bukan parti komponen PN tetapi menyertai kerajaan PN dan menyokong Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Hamzah berkata semua parti dalam kerajaan PN sebelum ini mendokong permuafakatan dan kerjasama politik yang membawa kepada perkongsian kuasa politik di pusat dan negeri.

Beliau tidak merujuk kepada peralihan kuasa di Perak yang menyaksikan kerusi menteri besar (MB) beralih kepada Umno selepas ADUN parti di negeri itu menolak Ahmad Faizal Azumu dari PPBM menerusi undian usul percaya di Dewan Undangan Negeri minggu lalu.

Namun, Hamzah menekankan keperluan memperkukuhkan permuafakatan dan kerjasama antara parti-parti besar kerajaan PN, khususnya Umno-BN dan GPS.

Beliau mengingatkan bahawa ketika pembentukan kerajaan PN di peringkat pusat, kedudukan kerajaan-kerajaan negeri juga diambil kira bagi memastikan wujud keseinambungan antara kepimpinan kerajaan pusat dan kerajaan negeri.

Justeru, pembahagian jawatan-jawatan Ketua Menteri dan Menteri Besar diputuskan secara konsensus bagi memelihara kerjasama politik kukuh dan utuh serta berdasarkan situasi politik semasa di negeri berkenaan.

“Bagi tujuan tersebut, kerjasama politik tidak dijalinkan atas dasar parti yang mempunyai bilangan ADUN terbesar semata-mata, tetapi ianya juga atas dasar tolak ansur dan persetujuan bersama di antara semua parti yang terlibat,” kata Hamzah.

“Contohnya di negeri Perak, jawatan MB dikekalkan menjadi milik PPBM, memandangkan jawatan tersebut telahpun disandang wakil PPBM sebelum pembentukan kerajaan PN,” kata beliau yang juga Setiausaha Agung PPBM.

Hamzah berkata di Johor, jawatan MB telah dipersetujui untuk diserahkan kepada Umno walaupun pada asalnya jawatan tersebut milik PPBM (ketika parti itu menyertai Pakatan Harapan).

Di bawah persefahaman itu, Umno menerajui empat negeri (Johor, Melaka, Perlis dan Pahang) manakala PAS mengetuai kerajaan negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Parti Pesaka Bumiputera Bersatu yang mewakili GPS kekal menerajui kepimpinan negeri Sarawak.

Hamzah berkata persefahaman politik ini terbukti mengukuhkan kedudukan kepimpinan kerajaan PN dan harus dikekalkan bagi menghadapi PRU-15 supaya gabungan itu bukan sahaja kekal berkuasa di Putrajaya tetapi juga berupaya menawan kerajaan negeri yang masih diperintah pembangkang.

Justeru, katanya, permuafakatan dalam kerajaan PN patut diperkasakan menerusi penubuhan gagasan besar secara rasmi bagi melambangkan kesatuan PN, Barisan Nasional dan GPS.

“Dengan mengambil kira kehendak semua parti tidak kira besar atau kecil, tidak kira mewakili mana-mana bangsa, kaum dan agama, gagasan ini nanti mampu melahirkan satu manifesto yang benar-benar memenuhi keperluan seluruh lapisan rakyat Malaysia,” kata Hamzah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.