
Kerajaan kini merancang untuk mempermudahkan syarat perjalanan perniagaan ke Malaysia untuk tempoh kurang dua minggu.
Ia antara lain melibatkan pembatalan perintah kuarantin 10 hari dan mempercepat proses kelulusan permohonan yang layak.
Mereka bagaimanapun perlu menjalani ujian saringan COVID-19 tiga hari sebelum berlepas dan akan diiringi oleh pegawai perhubungan kerajaan sepanjang tempoh itineri yang dikemukakan bagi menjamin pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan meminimumkan kontak dengan orang awam.
Pakar epidomiologi dan kesihatan awam di Universiti Malaya Dr Sanjay Rampal berkata, pelonggaran syarat hendaklah “mengimbangkan manfaat yang dijangka dengan potensi ancaman”.
Katanya, pembatalan tempoh kuarantin diimbangi dengan syarat lain.
“Pemendekkan atau pembatalan tempoh kuarantin mempunyai risiko, tetapi juga menjadikannya lebih murah dan kurang membebankan,” katanya, selain menambah bahawa “risiko melibatkan perjalanan sedemikian dikurangkan dengan ujian berulang”.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Dr Subramaniam Muniandy berkata, “kuarantin ketibaan mungkin tidak perlu” jika langkah pencegahan diambil bagi menjamin keberkesanan langkah keselamatan lain.
“Ujian pertama COVID-19 yang diambil tiga hari sebelum berlepas mestilah ujian RT-PCR dan langkah yang perlu diambil selepas ujian ini bagi menghalang kemungkinan pendedahan (kepada angkitan) antara ujian itu dengan penerbangan mereka.”
Beliau berkata, perlu juga diwujudkan “gelembung keselamatan” bagi pengembara sepanjang perjalanan mereka bagi meminimumkan risiko interaksi dengan masyarakat tanpa tempoh pengasingan.
Ini boleh dicapai melalui pemantauan pegawai perhubungan yang disediakan.
Ketua pegawai eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran Malaysia Carmelo Ferlito menyifatkan perkembangan itu “langkah ke arah yang tepat”, sekali gus menekankan kepentingan perjalanan perniagaan kepada ekonomi.
“Untuk ekonomi bermula semula dan berkembang, interaksi peribadi di peringkat antarabangsa diperlukan.
Perjalanan perniagaan mempunyai kesan jangka panjang ke atas ekonomi dan membantu membuka jalan ke arah pemulihan, katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, kehadiran pegawai perhubungan mengikuti perjalanan sepanjang masa mungkin tidak menyenangkan.
Katanya, peranan itu boleh dilihat secara kurang formal, justeru mencadangkan syarikat tuan rumah mengambil alih tanggung jawab berkenaan.