PKPB di submukim Ipoh tengah malam ini

PKPB di submukim Ipoh tengah malam ini

Perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) juga dikenakan di Asrama Pekerja Westlite, Taman Perindustrian Tampoi Jaya, Johor Bahru bermula 9 hingga 22 Jan ini.

Perintah kawalan pergerakan bersyarat dilaksanakan di submukim Ipoh susulan peningkatan kes positif Covid-19 di kawasan itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dilaksanakan di submukim Ipoh, Perak, bermula 7 hingga 20 Jan ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPB dilaksanakan susulan peningkatan kes positif Covid-19 di kawasan itu.

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan terdapat 106 kes positif Covid-19 dilaporkan secara bertaburan di submukim Ipoh dan daripada jumlah itu sebanyak 89 kes daripada jangkitan tempatan yang dilaporkan dalam tempoh 14 hari.

“KKM turut mengesahkan terdapat kluster yang masih aktif melibatkan kawasan kilang yang bertumpu di beberapa kawasan perindustrian di submukim ini yang terdedah kepada risiko penularan jangkitan Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata pelaksanaan PKPB bagi membolehkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar dan untuk mengurangkan pergerakan dalam kalangan komuniti di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Ismail berkata kerajaan melanjutkan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Asrama Pekerja Westlite, Taman Perindustrian Tampoi Jaya, Johor Bahru bermula 9 hingga 22 Jan ini.

Beliau berkata, PKPD yang sepatutnya tamat pada 8 Jan itu disambung susulan kebolehjangkitan Covid-19 dalam kalangan penghuni di asrama itu masih lagi tinggi.

“Sehingga kini, KKM melaksanakan 1,303 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 555 kes positif Covid-19 direkodkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata polis menahan 194 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP dan semuanya dikenakan kompaun semalam.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (84), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (74), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (25) dan lain-lain (11),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.