
PETALING JAYA: Resorts World Genting mengesahkan beberapa kakitangannya didapati positif Covid-19 pada awal Januari lalu menerusi saringan bersasar.
Dalam kenyataan, syarikat itu berkata semua pesakit sudah diasingkan dan kini pihaknya sedang menjalankan aktiviti mengesan kontak rapat.
“Pihak syarikat sudah meminta beberapa pekerja yang berada di bahagian kantin untuk diasingkan buat sementara waktu,” menurut syarikat itu.
Pada masa sama, katanya, pihak syarikat sudah pun menjalankan aktiviti pembasmian kuman di bahagian kantin pekerja dan juga kawasan yang digunakan oleh pekerja.
“Untuk makluman, kantin ini tidak dapat diakses oleh orang awam,” katanya.
Sementara itu, Resorts World Genting mengesahkan pusat peranginan berkenaan beroperasi seperti biasa.