PKP di 5 negeri, WP mulai Rabu

PKP di 5 negeri, WP mulai Rabu

PKPB akan dilaksanakan di 6 negeri dan PKPP di Perlis dan Sarawak.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata negeri dikenakan PKP adalah negeri berisiko tinggi hasil penilaian Kementerian Kesihatan (KKM).
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan perintah kawalan pergerakan (PKP) selama dua minggu akan dilaksanakan mulai Rabu ini hingga 26 Jan di Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Melaka, Johor dan Sabah.

Katanya, PKP bersyarat pula dilaksanakan di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan, serta PKP pemulihan di Perlis dan Sarawak.

“Negeri yang dikenakan PKP adalah negeri berisiko tinggi hasil penilaian Kementerian Kesihatan (KKM) dan tahap keupayaan perkhidmatan kesihatannya hampir mencapai kapasiti maksimum.

“KKM akan membuat penilaian risiko secara berterusan bagi memutuskan sama ada pelaksanaan PKP ini akan ditamatkan atau diteruskan sebelum tempoh dua minggu berkenaan tamat,” katanya dalam perutusan khas.

Mac lalu, Putrajaya mengumumkan PKP yang ketika itu bertujuan melandaikan lengkung kes Covid-19. Ketika itu, semua aktiviti ekonomi dan sosial perlu mematuhi SOP dengan beberapa aktiviti sosial turut disekat.

Muhyiddin sebelum ini turut memaklumkan, negara mengalami kerugian RM2.4 bilion setiap hari sepanjang PKP dilaksanakan.

Sementara itu, Muhyiddin berkata bagi mengurangkan risiko jangkitan dan memutuskan rantaian Covid-19, aktiviti sosial melibatkan perkumpulan seperti kenduri kahwin, persidangan, perarakan keagamaan termasuk Thaipusam, mesyuarat, seminar, kursus dan sukan berkumpulan tidak dibenarkan.

Bagaimanapun, beliau berkata bagi negeri bawah PKPP, aktiviti sosial dibenarkan, tertakluk kepada pematuhan SOP ketat.

Sektor ekonomi

Perdana menteri berkata, kerajaan mengenal pasti lima sektor ekonomi dibenarkan beroperasi dan dikategorikan sebagai sektor ekonomi perlu iaitu pengilangan dan pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran, serta perladangan dan komoditi.

Katanya, hanya 30% pekerja dalam kumpulan pengurusan dibenarkan berada di pejabat manakala bagi pekerja dalam kumpulan sokongan, jumlah pekerja diperlukan pada satu-satu masa akan ditentukan majikan masing-masing.

“Ingin saya ingatkan, jumlah pekerja ditentukan mestilah mengambil kira pematuhan ketat SOP ditetapkan.

“Majikan yang melanggar SOP dan menyebabkan berlaku penularan jangkitan Covid-19 di tempat kerja, tindakan tegas akan diambil berdasarkan undang-undang termasuk menutup premis berkenaan,” katanya.

Muhyiddin berkata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan memperincikan jenis perkhidmatan disenaraikan sebagai ekonomi perlu.

“MITI dan Kementerian Kerja Raya juga akan memperincikan butiran kerja pembinaan yang dibenarkan beroperasi.

“Bagi sektor atau perkhidmatan yang tidak disenaraikan sebagai ‘essential services’, arahan bekerja dari rumah atau ‘work from home’ akan berkuatkuasa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.