Kampung persaraan di tanah PR1MA menjelang 2023, kata Zuraida

Kampung persaraan di tanah PR1MA menjelang 2023, kata Zuraida

Menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu berkata, beberapa lokasi strategik dikenal pasti, iaitu Pulau Pinang dan Melaka, susulan persekitaran yang tenang.

Zuraida Kamaruddin berkata, harga sewaan di perkampung persaraan itu berpatutan, antara RM400 hingga RM600 sebulan, bergantung kepada kemudahan dan penjagaan diperlukan.
PUTRAJAYA:
Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) akan menghasilkan konsep model dan bekerjasama dengan rakan strategik untuk membangunkan beberapa perkampungan persaraan di tanah milik mereka, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, PR1MA kini merangka dasar yang menumpukan keperluan dan menangani semua elemen asas diperlukan warga emas supaya mereka dapat hidup dalam persekitaran harmoni dengan kemudahan kesihatan mencukupi.

Katanya, pembangunan perkampungan persaraan adalah model perniagaan baru yang diguna pakai PR1MA dengan menyediakan infrastruktur lengkap serta canggih untuk warga emas.

“Kami ada beberapa pihak yang berminat dan mereka akan mengemukakan cadangan. Kami akan melihat model dan konsep perniagaan dan akan bekerjasama dengan mereka,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Penuaan Penduduk Malaysia secara maya.

Zuraida berkata, cadangan perkampungan persaraan itu dijangka siap menjelang 2023 dan tumpuan adalah konsep kediaman bertanah dan bertingkat rendah.

Buat masa ini, katanya, beberapa lokasi strategik dikenal pasti, iaitu di Pulau Pinang dan Melaka, susulan persekitaran yang tenang.

“Adalah penting untuk mempunyai perkampungan persaraan kerana apabila usia seseorang itu bertambah, mereka mencari konsep kehidupan yang berbeza iaitu ingin berada bersama kumpulan rakan sebaya untuk berkongsi idea, pengetahuan serta bersosial.

“Mereka harus tinggal bersama sebagai satu komuniti supaya mereka lebih produktif. Usia tua dan kesihatan sihat dapat memberi peluang untuk mereka berinteraksi dengan rakan sebaya serta melakukan aktiviti dengan rentak tersendiri.”

Mengenai kos tinggal di perkampungan tersebut, Zuraida berkata, harga sewaan adalah berpatutan, iaitu antara RM400 hingga RM600 sebulan, bergantung kepada kemudahan dan penjagaan diperlukan.

Kini, katanya, terdapat dua juta warga emas berusia 60 tahun ke atas di Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.