
PETALING JAYA: Seorang bekas peguam berkata tidak salah pelajar menyaman guru mereka sekiranya hak asasi mereka untuk mendapatkan pendidikan telah dicabul.
Menurut Firdaus Husni kanak-kanak di negara ini mempunyai hak asasi mereka yang berhak dipertahankan.
“Budaya kita di Malaysia, kanak-kanak mesti menghormati dan tidak boleh melawan orang tua.
“Jadi bila dengar pelajar saman guru, kita terkejut dan tidak boleh terima,” katanya dalam forum ‘Pelajar Saman Guru’ yang disiarkan secara langsung di Facebook Tiada.Guru.
Sebelum ini, media melaporkan kes seorang pelajar sekolah yang menyaman guru bahasa Inggerisnya atas dakwaan tidak masuk kelas selama tujuh bulan.
Kes itu berlaku pada Oktober 2018, dan dibicarakan Nov tahun lalu.
Dalam samannya, pelajar itu mendakwa gurunya tidak hadir untuk mengajar subjek Bahasa Inggeris di kelasnya pada tahun 2015 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi, Kota Belud, Sabah.
Dalam pada itu, Firdaus yang juga Ketua Strategi Hak Asasi Manusia di Malaysian Centre For Constitutional and Human Right (MCCHR) berkata, sekiranya menghargai hak asasi kanak-kanak, semua pihak perlu terima tindakan pelajar terbabit apabila hak asasi dicabul orang dewasa, malah menegaskan hak asasi kanak-kanak perlu dipertahankan.
Bagaimanapun, beliau mengakui usaha mendapatkan keadilan terdapat kesukaran dan cabarannya.
Katanya, antara cabarannya adalah mendepani perasaan takut, melibatkan kos kewangan apabila bawa kes ke mahkamah dan impak pada diri pelajar itu dan keluarganya.
“Selain itu cabaran lain jika kes melibatkan pengaruh kuasa politik dan keselamatan juga boleh menyebabkan penyalahgunaan kuasa,” katanya.
Sementara itu, jurucakap kempen Tiada.Guru, Fiqah Roslan berkata pelajar tidak perlu takut untuk menentang sistem sekolah yang tidak betul.
Katanya, sekiranya sudah sampai ke tahap menindas pelajar, tidak wajar untuk mereka berdiam.
“Pelajar (yang saman guru) perlu sokongan orang sekeliling.
“Jika guru tidak penuhi amanah, perlu diambil tindakan undang-undang,” katanya.
Fiqah yang juga seorang wartawan berkata setiap orang masih terikat dengan undang-undang dan tidak boleh lari daripadanya.
“Walaupun proses menuntut keadilan mengambil masa, tenaga dan kos sekiranya budaya takut bersuara dapat ditangani, ini mampu membawa perubahan,” katanya.