Ragbi Malaysia bersedih atas pemergian Cikgu Maniam

Ragbi Malaysia bersedih atas pemergian Cikgu Maniam

Cikgu Maniam terkenal dengan dedikasinya termasuk sanggup menaiki bas dan kereta api dari Taiping, Perak untuk mengadili perlawanan di Lembah Klang.

Cikgu Maniam, 75, menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 9.20 pagi tadi. (Gambar Malaysia Rugby)
KUALA LUMPUR:
Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) bersedih atas pemergian bekas pengadil Asia dan kebangsaan K Maniam yang terkenal dengan dedikasinya termasuk sanggup menaiki bas dan kereta api dari Taiping Perak untuk mengadili perlawanan di Lembah Klang.

Dikenali sebagai Cikgu Maniam dalam kalangan peminat ragbi sejak 1970, Maniam, 75, yang menghidap kanser, menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 9.20 pagi tadi, di rumah keluarganya di Brickfields.

Presiden KRM Shahrul Zaman Yahya berkata, Maniam amat sinonim dengan ragbi di Malaysia, kerana beliau mendedikasikan dirinya untuk pembangunan sukan itu di negara ini.

“Satu masa yang sedih untuk KRM dan peminat sukan ini. Beliau seorang pegawai yang lama berkhidmat di peringkat wilayah dan kebangsaan, malah beliau juga pernah mengadili perlawanan yang saya dan pasukan saya bermain pada 1990an.

“Cikgu Maniam juga mempunyai reputasi yang baik pada peringkat antarabangsa, terutamanya pada Ragbi Asia. Beliau berjaya membawa dan mendidik ramai pengadil tempatan kita untuk mengadili perlawanan pada peringkat wilayah,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu Timbalan Presiden Kesatuan Ragbi Perak S Sevakumar mengingati Maniam sebagai seorang pegawai yang amat berdedikasi, yang bersedia menempuh perjalanan kira-kira 260 kilometer menaiki kenderaan awam untuk mengadili perlawanan di Lembah Klang, ketika beliau mengajar di SMK King Edward VII dan Guru Besar di SJK(T) YMHA di Taiping.

Maniam memulakan kariernya sebagai pengadil pada 1975 dan mengendalikan perlawanan peringkat sekolah, menerima pengiktirafan menjadi pengadil peringkat kebangsaan dan Asia pada 1980 dan telah mengadili perlawanan Piala Asia 1985.

Beliau bersara sebagai pengadil pada 1990 tetapi terus memainkan pelbagai peranan dalam KRM dan Ragbi Asia sehingga ke hujung nyawanya. Antaranya beliau menjadi Pegawai Pengajar Perlawanan, Penilai dan Pesuruhjaya Pemantau.

Atas sumbangannya, Maniam telah menerima anugerah Pengadil Perlawanan ‘Carlson Lin’ Ragbi Asia pada tahun 2014.

Upacara penghormatan terakhir dijangka berlangsung di Palm Court, Brickfields pada 1 tengah hari Ahad, dengan pembakaran mayat di Cheras Crematorium.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.