Pengumuman ‘vaksin untuk semua’ langkah terbaik kerajaan, kata Pusat Galen

Pengumuman ‘vaksin untuk semua’ langkah terbaik kerajaan, kata Pusat Galen

CEO Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib berkata koronavirus tidak membezakan atau tidak peduli sama ada rakyat Malaysia atau tidak, atau jenis dokumentasi yang dibawa.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan bermula hujung bulan ini.
KUALA LUMPUR:
Sebuah organisasi penyelidikan dan advokasi dasar awam bebas memuji kerajaan atas keputusan baru-baru ini yang turut melibatkan warganegara asing menetap di Malaysia dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib berkata, keputusan kerajaan adalah tepat selaras amalan pengurusan kesihatan awam yang baik.

“Koronavirus tidak membezakan atau tidak peduli sama ada rakyat Malaysia atau tidak, atau jenis dokumentasi yang mereka bawa. Namun, memastikan setiap orang divaksin, akan memberikan perbezaan signifikan,” katanya dalam kenyataan.

Azrul berkata, dalam usaha membuka semula sektor ekonomi, membina kembali kehidupan dan kedudukan Malaysia sebagai destinasi selamat dan bertanggungjawab kepada pelabur, pelancong dan negara lain, strategi menyeluruh diperlukan tanpa meminggirkan sesiapa.

“Memastikan seberapa banyak orang diberikan vaksin Covid-19 tanpa diskriminasi, berat sebelah atau keutamaan adalah strategi kesihatan awam ke arah mencapai okjektif imuniti kelompok itu,” katanya.

Khamis lepas, kerajaan dilaporkan bersetuju Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, yang akan bermula hujung bulan ini, bakal membabitkan pemberian vaksin secara percuma kepada bukan warganegara yang menetap di Malaysia.

Keutamaan akan diberikan kepada rakyat Malaysia manakala maklumat terperinci dan jadual vaksinasi untuk warga asing akan diumumkan kelak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.