Dalam wawancara bersama FMT, ketua pegawai eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) menceritakan dengan panjang lebar mengenai projek yang dianggapnya akan menjadi “gamechanger” kepada Malaysia, khususnya ekonomi di Johor.
Sistem Transit Aliran Johor Bahru – Singapura dengan jarak 4 kilometer dirangka bagi menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dan Woodlands di Singapura.
Sebaik projek berkenaan siap, perjalanan merentasi kedua negara berkenaan hanya mengambil masa lima minit, manakala 10 minit lagi diperlukan bagi urusan imigresen.
“Lima minit diperlukan untuk mendapat pelepasan di imigresen Malaysia, lima minit di sempadan Singapura, manakala perjalanan antara kedua-dua negara hanya mengambil masa 5 minit.”
Pemangkin ekonomi
Zarif berkata, projek berkenaan tidak hanya menawarkan perkhidmatan pengangkutan, tetapi juga membuka peluang perniagaan baharu kepada kedua-dua negara.
“Ada yang beranggapan Singapura akan mendapat lebih banyak manfaat daripada projek ini berbanding Malaysia, tetapi respons saya tidak.
“Kuncinya di sini ialah perjalanan 15 minit untuk sampai ke Malaysia atau Singapura.
“Kita boleh bangunkan sekolah antarabangsa berkelas dunia, hotel, hospital di Johor Bahru dan kita akan dapat lihat lebih ramai orang dari Singapura datang kerana perjalanannya hanya 15 minit untuk mengakses kemudahan yang disediakan.”
Zarif berkata waktu perjalanan yang lebih pendek juga akan merancakkan lagi perniagaan perkhidmatan kurier dan penghantaran harian rentas negara.
“Ini akan memberi makna baharu kepada perkhidmatan penghantaran makanan mahupun barangan.
“Anda boleh lakukan penghantaran, baik makanan mahupun dokumen, merentasi sempadan dalam masa kurang sejam,” tambahnya dengan menegaskan bahawa ia akan mengubah Johor Bahru menjadi hab perkhidmatan.
Beliau berkata, ini belum meliputi impak ekonomi yang dapat dimanfaatkan daripada pembinaan RTS dalam tempoh enam tahun ini.
Pembinaan RTS akan menyaksikan Malaysia mengeluarkan peruntukan sebanyak RM3.7 billion dan mencipta 1,500 peluang pekerjaan.
“17,000 lagi peluang pekerjaan akan dibuka bagi mengerakkan perkhidmatan sampingan projek ini, termasuk katering makanan, keselamatan dan lain-lain.
“Secara keseluruhan ini akan mewujudkan gandaan ekonomi bernilai sehingga RM6 billion.”
Zarif berkata, buat masa ini tumpuan hendaklah diberikan kepada bagaimana Malaysia boleh memanfaatkan sepenuhnya potensi RTS.
Lebih daripada sekadar sistem transit
Beliau berkata, pembinaan RTS akan mengurangkan tekanan ke atas kapasiti penggunaan Tambak Johor yang mencecah sehingga 350,000 pengguna setiap hari.
Katanya, RTS mampu menampung sehingga 10,000 penumpang sejam dan berharap sekurang-kurangnya 50% daripada pengguna Tambak Johor akan menggunakan perkhidmatan baharu ini.
Selain waktu perjalanan yang singkat, waktu menunggu pula hanyalah tiga setengah minit pada waktu puncak dan enam minit pada waktu biasa.
Zarif berkata, pemeriksaan imigresen dan kastam hanya akan dilakukan pada waktu keberangkatan sama ada di Bukit Chagar atau Woodlands bagi menjimatkan masa penumpang.
Penumpang di Malaysia boleh menggunakan perkhidmatan keretapi ETS yang menghubungkan Johor Bahru ke Kuala Lumpur.
Manakala bagi penumpang yang tiba di Singapura boleh meneruskan perjalanan ke ibu kota negara itu dengan menggunakan East Coast MRT Line.
“Bayangkan berapa ramai orang dan perniagaan yang boleh dijalankan apabila perjalanan yang sebelum ini memakan masa sejam kini hanya memerlukan 15 minit untuk sampai ke destinasi yang dituju.”