Guru, pelajar, ibu bapa derita kerana perancangan lemah, kata Teo

Guru, pelajar, ibu bapa derita kerana perancangan lemah, kata Teo

Bekas timbalan menteri pendidikan mengkritik 'keputusan mengejut' membuka semula sekolah pada Mac.

Sekolah rendah akan dibuka semula pada Mac dan sekolah menengah pada April.
PETALING JAYA:
Bekas timbalan menteri pendidikan Teo Nie Ching mengkritik keputusan kerajaan membuka semula sekolah mulai Mac, kerana ia mengganggu rancangan guru.

Teo dalam kenyataan berkata, guru bekerja keras membuat persiapan mengikut manual pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) 2.0 Kementerian Pendidikan bagi memastikan mereka dapat memberikan pelajaran berkualiti sejak ia dilaksanakan pada 22 Feb, di sebalik kritikan kesatuan perguruan terhadap manual itu.

Namun, pengumuman mengejut minggu lalu bahawa sekolah rendah akan dibuka semula pada Mac bermakna modul PdPR 2.0 hanya akan digunakan selama satu minggu.

“Guru bekerja tanpa henti untuk menyiapkan jadual dan modul baharu yang akan disampaikan mulai minggu ini, tepatnya pada 22 Feb dan seterusnya. Mereka menghabiskan berjam-jam dan apatah lagi kos untuk menyiapkan bahan yang akan dihantar kepada pelajar.

Teo Nie Ching.

“Perancangan lemah di pihak kementerian membuatkan guru, ibu bapa, dan pelajar kita menderita. Tidak konsisten dan sikap acuh tak acuh menyebabkan banyak pihak di sektor pendidikan sakit hati, bermasalah, dan dilema,” katanya.

Beliau mempersoalkan sama ada KPM sanggup mengakui kementerian itu tidak sepatutnya menutup sekolah pada November tahun lalu, memandangkan bilangan terkini kes Covid-19 tiga kali ganda pada waktu itu.

Teo juga bertanya tentang 150,000 komputer riba yang sepatutnya diedarkan kerajaan kepada pelajar dalam Belanjawan 2021.

“Pada 27 Jan, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz menyatakan pemberian 150,000 komputer riba oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dipercepatkan ke Februari.

“Dalam enam hari lagi, kami menyambut Mac tanpa petanda 150,000 komputer riba yang dijanjikan menteri kewangan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.