KDN diminta perjelas bahagian Akta Hasutan, SOSMA, ATIPSOM yang ingin dikaji semula

KDN diminta perjelas bahagian Akta Hasutan, SOSMA, ATIPSOM yang ingin dikaji semula

Peguam Haniff Khatri Abdullah mempersoalkan sama ada kajian yang akan dilakukan itu mempunyai niat tertentu.

Seorang pakar anti-keganasan berpendapat perubahan suasana dan ancaman keganasan dalam negara memerlukan seksyen undang-undang yang masih lemah dan longgar diperbaiki. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu memperincikan secara jelas seksyen dan bahagian undang-undang di bawah Akta Hasutan 1948, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migram (ATIPSOM) 2007 yang mahu diubah dan ditambah baik, seperti yang dinyatakan oleh Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin.

Peguam Haniff Khatri Abdulla meminta penjelasan sedemikian susulan kenyataan Hamzah minggu lalu bahawa kementeriannya sedang mengkaji semula akta-akta tersebut “supaya penguatkuasaan lebih efektif dan berkesan dapat dilaksanakan”.

Kata Haniff, sekiranya kajian yang akan dilakukan hanya untuk memperketatkan akta dengan niat tertentu, seperti supaya tindakan drastik dapat diambil terhadap pengkritik kerajaan, beliau percaya “apa yang dilakukan sejak Oktober 2018 melalui jawatankuasa khas mungkin menjadi sia-sia”.

Beliau merujuk kepada satu jawatankuasa khas yang dibentuk pada Oktober 2018 di bawah pentadbiran Pakatan Harapan untuk meneliti penambahbaikan dan pengubahsuaian akta-akta SOSMA dan ATIPSOM, serta Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dan Akta Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 .

“Banyak cadangan yang telah dibangkitkan, ada juga berkaitan bahagian-bahagian akta itu yang perlu dikaji, bagi tujuan menghapuskan bahagian-bahagian tidak adil dan agak kejam, serta mengubah beberapa peruntukan supaya lebih relevan dengan keadaan semasa,” kata beliau, yang juga salah seorang ahli jawatankuasa tersebut.

Sementara itu, keputusan KDN untuk menyemak semula Akta Hasutan, SOSMA dan ATIPSOM itu disokong penuh oleh pakar anti-keganasan.

Pakar Kajian Strategik dan Anti Keganasan Universiti Malaysia Perlis Mizan Mohammad Aslam berkata, keputusan tersebut tepat pada masanya memandangkan perubahan suasana dan ancaman keganasan dalam negara memerlukan seksyen undang-undang yang masih lemah dan longgar diperbaiki.

“Undang-undang berkaitan membabitkan akta tersebut perlu disemak kerana masih terdapat pelbagai kelemahan yang perlu diperbaiki, terutamanya berkenaan jenayah berkaitan siber dan digital yang semakin meningkat,” katanya kepada FMT.

Mizan berkata, kelompongan dalam memperkasa undang-undang negara akan mengakibatkan sempadan negara mudah dibolosi dan keselamatan negara serta rakyat akan terancam.

“Penjenayah akan sentiasa memanipulasi peluang dan ruang yang dimiliki untuk menjayakan agenda jahat mereka, maka seharusnya negara bersedia dan menggubal undang-undang atau membuat pindaan.

“Aspek hukuman dan dendaan juga perlu disemak semula agar ianya lebih berat dan memungkinkan penjenayah tidak akan dapat hidup aman selama-lamanya apabila terlibat dengan jenayah berat.

“Hukuman sedia ada masih berada pada tahap lemah dan boleh dimanipulasi, terutamanya oleh mereka yang memiliki kemampuan wang dan akses kepada individu tertentu,” kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.