
Pengasas bersama dan jurucakap Muda Mutalib Uthman berkata, sehingga kini rakyat belum mengetahui bentuk hukuman dikenakan ke atas menteri dan VIP yang didakwa melanggar SOP walaupun siasatan sudah dijalankan.
“Pihak yang bertanggungjawab mesti menyiasat semua kes melibatkan kumpulan menteri atau VIP ini dan mendedahkan setiap proses dan hasil siasatan dijalankan dengan telus dan adil.
“Rakyat melanggar SOP kena saman RM10,000. Tindakan segera dan berat bagaimanapun tidak dikenakan ke atas menteri dah ahli politik,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
Mutalib berkata, antara kesalahan melanggar SOP dilakukan menteri dan VIP namun tiada sebarang hukuman dikenakan termasuk kes membabitkan Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin, Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad, Timbalan Menteri Dalam Negeri Ismail Mohamed Said dan Ahli Parlimen Padang Terap Mahdzir Khalid.
Sementara itu, Amir Abd Hadi yang juga pengasas bersama Muda mendakwa sejak awal PKP dilaksanakan kerajaan sudah menunjukkan perbezaan penguatkuasaan undang-undang membabitkan rakyat biasa dan kenamaan.
“Kita boleh lihat berapa ramai ditahan di lokap kerana melanggar SOP PKP, tapi menteri dan VIP tak diambil tindakan hingga hari ini.
“Kita minta pihak berkuasa ambil tindakan kepada sesiapa sahaja termasuk menteri, VIP, wakil rakyat pembangkang dan kerajaan jika melanggar SOP secara adil,” katanya.
Katanya, Muda turut melancarkan laman lapormenteri.com yang akan mengumpul segala aduan dan maklumat berkaitan kumpulan menteri dan VIP yang melanggar SOP dan ia akan dipamerkan kepada orang ramai serta diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.