1MDB lantik penasihat undang-undang untuk dapatkan semula aset

1MDB lantik penasihat undang-undang untuk dapatkan semula aset

1MDB berkata yuran profesional penasihat undang-undang yang dilantik adalah berdasarkan jumlah masa yang terlibat.

(Gambar AP)
PETALING JAYA:
1MDB memutuskan untuk melantik penasihat undang-undang profesional yang akan membantu syarikat itu mendapatkan semula asetnya dan tindakan sivil di mahkamah.

Dalam satu kenyataan, 1MDB berkata yuran profesional penasihat undang-undang yang dilantik adalah berdasarkan jumlah masa yang terlibat selaras dengan kadar yang telah dirunding dan dipersetujui.

“Dan bukan berdasarkan komisyen mahupun peratusan nilai penyelesaian atau nilai aset yang diperolehi,” katanya.

Julai lalu, Goldman Sachs mencapai persetujuan dengan Putrajaya yang menyaksikan bank pelaburan itu membayar secara tunai US$2.5 bilion (RM10.63 bilion) dan jaminan untuk pengembalian penuh berjumlah sekurang-kurangnya US$1.4 bilion (RM5.95 bilion) dari segi aset yang berkait dengan hasil yang telah diseleweng melalui tiga urus niaga bon berkenaan.

Memandangkan ia melibatkan aset yang disita, jaminan tersebut tidak akan mengakibatkan kerugian kewangan kepada Goldman Sachs.

Sebagai balasannya, Malaysia akan menggugurkan dakwaan jenayah terhadap bank tersebut kerana menyembunyikan fakta material dengan menaikkan bon bernilai US$6.5 bilion bagi pembelian loji kuasa oleh 1MDB serta projek Tun Razak Exchange (TRX) dan Bandar Malaysia.

Dalam pada itu, 1MDB berkata dalam usaha untuk mendapatkan semula aset-aset syarikat itu, adalah keutamaan kepada Lembaga Pengarah 1MDB.

Katanya, bagi tujuan tersebut, Kementerian Kewangan telah menubuhkan Pasukan Khas yang dianggotai oleh wakil 1MDB, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bank Negara Malaysia, polis, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional.

1MDB berkata sebagaimana diumumkan oleh Kementerian Kewangan, kerajaan Malaysia telah menerima penyelesaian tunai bernilai US$2.5 bilion daripada Goldman Sachs.

Katanya, jumlah itu telah dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (“Akaun Amanah”) yang disenggara oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia.

“Baru-baru ini, 1MDB juga telah berjaya membuat penyelesaian bernilai RM2.83 bilion dengan AMMB Holdings Berhad, dan sebanyak RM324 juta dengan Deloitte.

“Semua hasil yang diterima daripada usaha pengembalian aset ini, termasuk penyelesaian yang akan datang, telah atau akan dimasukkan ke dalam Akaun Amanah tersebut,” katanya.

1MDB masih mempunyai RM32.3 bilion hutang yang perlu dibayar.

Katanya, dua daripada hutang tersebut adalah bon denominasi dolar Amerika Syarikat bernilai US$3.5 bilion (RM14.7 bilion) dengan kadar kupon 5.75% dan 5.99%, yang akan matang pada tahun 2022.

“Manakala bon denominasi dolar Amerika Syarikat bernilai US$3 bilion (RM12.6 bilion) dengan kadar kupon 4.4% pula akan matang pada tahun 2023.

“Hutang terakhir 1MDB iaitu Sukuk bernilai RM5 bilion dengan kadar keuntungan 5.75% akan matang pada tahun 2039.

“Jumlah keseluruhan bon/Sukuk termasuk bayaran prinsipal dan kupon/keuntungan yang perlu dibayar oleh 1MDB sehingga tarikh matang adalah sebanyak RM40.51 bilion.

“1MDB akan meneruskan usaha mendapatkan semula aset bagi membolehkannya membayar balik kesemua bon/Sukuk apabila matang kelak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.