
Harian Metro melaporkan, sejumlah 380 kotak berisi sarung tangan getah, 887 plastik berisi sarung tangan getah ‘reject’ dan 619 plastik berisi sarung tangan getah sekerap, dirampas dalam serbuan tersebut,
Turut dirampas, sembilan guni besar berisi sarung tangan getah ‘reject’, pelbagai dokumen dan pelbagai peralatan.
Kesemua rampasan dianggarkan bernilai kira-kira RM280,000.
Serbuan dijalankan pasukan oleh Unit Inspektorat dan Penguatkuasaan LGM bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Raub dengan dibantu Polis Bentong.
Jurucakap Unit Inspektorat dan Penguatkuasaan LGM berkata, syarikat terbabit didapati menjalankan aktiviti jual beli sarung tangan getah ‘reject’ dan mengeksport sarung tangan getah sejak Julai tahun lalu.
“Syarikat itu melakukan kesalahan kerana menjalankan aktiviti jual beli ini tanpa permit dan mengeksport sarung tangan getah tanpa lesen sah.
“Tindakan diambil ke atas syarikat terbabit mengikut Peraturan 22 (1)(b) dan Peraturan 3 (1)(c) Peraturan-Peraturan Lembaga Getah Malaysia (Pelesenan dan Permit) 2014,” katanya.
Katanya, sabit kesalahan mengikut Peraturan 22 (1)(b), syarikat itu boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
“Jika sabit kesalahan mengikut Peraturan 3(1)(c) pula, syarikat boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.