Pilihan raya negeri, PAS Sarawak serah kepada kepemimpinan pusat

Pilihan raya negeri, PAS Sarawak serah kepada kepemimpinan pusat

Ketua Penerangan PAS Sarawak Zharudin Narudin berkata keutamaan parti ketika ini adalah untuk memastikan kestabilan politik di peringkat negeri dan pusat.

PAS Sarawak tidak pernah menang sebarang kerusi sejak mengambil bahagian pada pilihan raya negeri Sarawak sejak 2001 (Gambar Bernama)
KUCHING:
PAS Sarawak menyerahkan kepada kepemimpinan pusat bagi menentukan sama ada mereka akan bertanding pada pilihan raya negeri yang akan datang.

Ketua Penerangan PAS Sarawak Zharudin Narudin berkata keutamaan parti ketika ini adalah untuk memastikan kestabilan politik di peringkat negeri dan pusat.

“Keputusan sama ada bertanding atau tidak di Sarawak, kami serahkan kepada kepemimpinan pusat kerana ia membabitkan rakan, Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Kami akan memberikan sokongan penuh dan menghormati apa juga keputusan kerana komited dalam mengukuhkan penyatuan bersama semua parti yang ada dalam dalam Perikatan Nasional.”

Zharudin mengulas kenyataan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bahawa PPBM dan PAS Sarawak akan memberikan sokongan penuh kepada GPS bagi mengelak perpecahan dalam kalangan parti PN

Muhyiddin berkata, agihan kerusi adalah perkara kedua dan apa yang paling utama adalah memastikan parti gabungan PN kekal bersatu bagi membolehkan GPS menang bergaya.

Zharudin turut mengalu-alukan pengumuman pembentukan jawatankuasa pusat PPBM-PAS untuk menggerakkan jentera pilihan raya PN dan penyokong akar umbi dalam membantu GPS menang besar.

PAS mengembangkan sayapnya di Sarawak pada 1996 tetapi tidak pernah memenangi sebarang kerusi sejak menyertai pilihan raya negeri pada 2001.

Parti itu bertanding di 11 kerusi pada pilhan raya negeri pada 2016 iaitu di Samariang, Pantai Damai, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Beting Maro, kakus, Jepak, Samalaju, Lambir dan Pujut.

Sementara itu, Pemuda PPBM Sarawak turut menyatakan kesediaan membantu dan menyokong GPS pada pilihan raya negeri akan datang.

“Kami percaya bahawa ahli akar umbi menjangkakan kerjasama yang kuat antara GPS dan PN ketika pilihan raya negeri berlangsung,” katanya dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.