
Kitingan, yang juga timbalan ketua menteri, semalam mengkritik Putrajaya berhubung tunggakan bayaran pelbagai geran kepada Sabah dan Sarawak, seperti diperuntukkan di bawah Perlembagaan.
Katanya, jika kerajaan persekutuan memenuhi kewajipan kewangannya kepada dua negeri Borneo itu, mereka dapat menyelesaikan masalah kewangan sendiri dan melaksanakan lebih banyak projek pembangunan.
Chan, yang juga setiausaha DAP Sabah, hari ini berkata, beliau “bersolidariti” dengan Kitingan berhubung kenyataannya dan mempersoalkan keikhlasan Putrajaya dalam mengotakan janjinya kepada dua negeri itu di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Satu-satunya sebab saya boleh fikirkan kenapa Kitingan menyuarakan kritikannya secara terbuka di media, berbanding berkomunikasi dalam sistem, kerana tiada sistem sedemikian dalam Perikatan Nasional (PN) untuk rungutan didengari.
“Kitingan mungkin kebuntuan,” katanya dalam kenyataan.
Chan berkata, Ahli Parlimen Keningau itu membuat kenyataan berkenaan sekarang juga mengejutkan kerana Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan Sabah dan Sarawak ialah “wilayah”, bukannya “negeri” baru-baru ini.
“Adakah ini bermakna pengumuman perdana menteri sekadar janji kosong?
“Adakah ini juga bermakna Kitingan, sebagai timbalan ketua menteri, diabaikan dalam PN dan tidak dapat meyakinkan rakan gabungannya mengenai apa yang betul atau salah berkaitan Sabah serta Sarawak?
“Dalam hal ini, saya bersolidariti dengan Kitingan. PN tidak patut mengabaikan ‘kritikannya’ kerana ia mungkin menyebabkan kejatuhan PN.”
Semalam, Kitingan berkata, ada beberapa klausa dalam Perlembagaan Persekutuan yang memperincikan kewajipan kewangan kerajaan persekutuan terhadap Sabah dan Sarawak.
Beliau menekankan kewajipan kerajaan persekutuan untuk membayar geran khas 40% daripada hasil bersih yang diperolehi persekutuan dari Sabah.
Kerajaan persekutuan buat masa ini hanya membayar Sabah RM26.7 juta.
“Itu baru satu. Aturan kewangan lain yang dipersetujui dan diterapkan dalam Perlembagaan Persekutuan dipinda di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termasuk geran jalan raya, geran per kapita dan duti import serta eksport,” kata Kitingan.
Chan berkata, ketika pemerintahan Pakatan Harapan, kerajaan persekutuan menggandakan bayaran geran khas untuk Sabah dan Sarawak dalam Belanjawan 2020, dengan Sabah menerima RM53.4 juta. Bayaran itu akan digandakan lagi dalam lima tahun akan datang.
“Hak 40% akan dicapai secara berperingkat berdasarkan perancangan. Malangnya, rancangan itu tidak berjaya selepas kerajaan PH tumbang.”
Katanya, kerajaan PH turut menyelesaikan 17 daripada 21 masalah berkaitan MA63.
Chan menggesa Ahli Parlimen Sabah dalam kerajaan PN untuk bersamanya mendesak Muhyiddin mengadakan sidang Parlimen pada Jun, selepas Aidilfitri dan semua Ahli Parlimen divaksin.
Katanya, tindakan pertama ialah membentangkan semula Rang Undang-undang Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) – untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dengan hak sama rata dalam persekutuan dan bukan sekadar negeri.
Beliau berkata, Ahli Parlimen Sabah, termasuk Kitingan, sudah menyokong RUU itu.
“Tetapi, RUU itu tidak diluluskan akibat PAS, Umno dan Gabungan Parti Sarawak enggan membenarkan PH mendapat kredit.
“Saya ingin menggesa Ahli Parlimen Ranau Jonathan Yasin, Ahli Parlimen Pensiangan Arthur Kurup, Presiden PBS (Parti Bersatu Sabah) Maximus Ongkili dan juga Kitingan menyokong gesaan untuk mengadakan sidang Parlimen pada Jun supaya kita boleh membangkitkan isu ini dan betul-betul menyelesaikannya.”