
Peguam Harvinderjit Singh, berkata sejumlah RM164 juta dipindahkan ke akaun baharunya selepas akaun lama yang digunakan untuk menerima sumbangan ditutup pada Ogos 2013.
“Dia percaya wang itu adalah sumbangan daripada Raja Arab Saudi,” katanya dalam penghujahannya bahawa Najib tidak mempunyai niat tidak jujur untuk menyebabkan kerugian kepada SRC.
Harvinderjit, bagaimanapun berkata, hakim perbicaraan Mohd Nazlan Mohd Ghazali khilaf apabila mendapati Najib bersalah kerana ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, memasukkan wang daripada SRC ke dalam akaun baharunya.
Katanya, pihak pendakwaan hanya menunjukkan pada akhir kes bahawa Low “masuk campur” dalam hal akaun Najib.
Ketika ini, Abdul Karim Abdul Jalil, yang mengetuai panel hakim Mahkamah Rayuan, bertanya mengapa Low berurusan dengan akaun Najib walaupun dia tidak mempunyai kuasa.
Harvinderjit berkata, Low melalui saluran bukan diplomatik, mengatur pertemuan antara Raja Arab Saudi dan Najib pada 2010.
Katanya, raja itu kemudian menyatakan sokongannya untuk Najib kekal berkuasa supaya Malaysia tidak jatuh ke tangan ekstremis.
“Raja itu berkata, dia akan menyokong Najib namun tidak menyatakan sokongan itu akan datang dalam bentuk sumbangan,” katanya, sambil menambah beberapa bulan kemudian, Low memberitahu raja itu akan memberi sumbangan.
“Oleh itu, kerajaan Arab Saudi telah memberi sumbangan sejak 2011,” katanya.
Harvinderjit berkata, Najib membuka akaun semasa dan simpanan di AmBank kerana dia menanti sumbangan sebanyak USD200 juta dari Arab Saudi.
Beliau berkata, Najib bertemu pengarah urusan AmBank ketika itu, Cheah Tek Kuang pada 2011 dan memintanya mengikuti semua prosedur perbankan.
Peguam itu berkata, Cheah kemudian bertemu gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz mengenai perkara itu, dan Zeti berkata bank pusat tersebut tiada halangan untuk membenarkan AmBank menguruskannya.
Katanya, pengurus cawangan AmBank Raja Chulan, R Uma Devi, memberi keterangan bahawa berdasarkan rekod bank, berjuta-juta dolar AS dimasukkan ke dalam akaun Najib antara 2011 dan 2013.
Dinyatakan bahawa RM304 juta dimasukkan ke dalam akaun tahun 2011, RM756 juta pada 2012 dan RM1.9 bilion pada 2013.
Harvinderjit berkata, pada 23 Ogos 2014, Najib mengembalikan RM2.034 bilion (USD620 juta) dan baki RM164 juta dipindahkan ke dalam akaun baharunya.
Julai lalu, Nazlan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atas Najib dan memerintahkannya membayar denda RM210 juta selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan rasuah berkait RM42 juta milik SRC.
Najib dituduh menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri dengan memberikan jaminan kerajaan atas pinjaman RM4 bilion SRC daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).
Dia turut didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan tiga tuduhan pengubahan wang haram berkait RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.
Perbicaraan diteruskan.