KKM cadang tangguh rentas negeri Aidilfitri, kata Adham

KKM cadang tangguh rentas negeri Aidilfitri, kata Adham

KKM berkata kes harian masih meningkat dan belum stabil.

Dr Adham Baba berkata pihaknya mencadangkan aktiviti rentas negeri sempena Aidilfitri ditangguhkan.
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan aktiviti rentas negeri untuk sambutan Aidilfitri bulan depan ‘ditangguhkan’, kata Menterinya, Dr Adham Baba.

Beliau berkata, ia susulan situasi penularan pandemik Covid-19 masih membimbangkan ketika ini dan rungutan serta rayuan pelbagai pihak supaya kerajaan menangguhkan kebenaran pergerakan itu.

“Sepertimana kita sedia maklum, kebanyakan negeri ketika ini masih bawah PKPB (perintah kawalan pergerakan bersyarat) dan PKPP (perintah kawalan pergerakan pemulihan) sehingga 28 April ini.

“Memandangkan kes harian masih meningkat dan belum stabil, maka pergerakan ini perlu ditangguhkan.

“Program vaksinasi (Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan) pun masih dijalankan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan buku “Malaysia Health Sector Response to Covid-19 Pandemic: Perspectives From The Field”, menurut laporan Bernama.

Sabtu lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan akan meminta KKM membuat pengumuman lebih awal mengenai keputusan sama ada membenarkan rentas negeri sempena Aidilfitri.

Katanya, pengumuman lebih awal akan memudahkan orang ramai membuat persiapan dan mengurangkan kesesakan pembelian tiket pengangkutan awam.

“Ia bukan kuasa kita…kita lihat apa yang berlaku dulu apabila kerajaan membenarkan dan rentas negeri dibuka, terdapat 31 kluster balik kampung, sebab itu KKM perlu berhati-hati kali ini,” katanya.

Sementara itu, Adham turut memaklumkan, bazar Ramadan akan ditutup jika terdapat kluster jangkitan dipercayai berpunca daripada aktiviti mengunjungi bazar.

Beliau berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kegagalan pematuhan SOP di beberapa lokasi bazar Ramadan di seluruh negara dan memandang serius perkara itu.

“Kalau kluster bazar wujud, kita (KKM) akan lakukan siasatan melalui rekod aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan punca yang tepat. Mudah bagi kita untuk kesan punca atau tempat bermula jangkitan.

“Sekiranya penganjur tidak bertanggungjawab, kita tidak teragak-agak kenakan kompaun,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.