
Peguam Khairuddin, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, pada tarikh itu hakim Noorin Badaruddin juga akan mendengar permohonan anak guamnya untuk merujuk isu perundangan terus ke Mahkamah Persekutuan.
“Ini diputuskan ketika pengurusan kes di hadapan hakim berkenaan, awal minggu ini,” kata beliau kepada FMT.
Bagaimanapun, Rafique berkata, Khairuddin tidak berpuas hati dengan keputusan itu kerana hakim yang mendengar prosiding berkenaan sebelum ini memutuskan mahu mendengar permohonan membatalkan saman itu terlebih dahulu.
“Saya akan menulis surat kepada Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed seperti diarahkan (oleh anak guam),” kata Rafique.
Kata beliau, Khairuddin mahukan isu perundangan itu diputuskan “secara muktamad” oleh mahkamah tertinggi itu supaya dapat menjadi rujukan hakim-hakim Mahkamah Tinggi dan litigan lain.
Bulan lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Mariana Yahya, yang dinaikkan pangkat ke Mahkamah Rayuan pada 1 April, memaklumkan pihak-pihak bahawa beliau akan mendengar dulu permohonan Khairuddin sebelum meneruskan permohonan kerajaan untuk membatalkan saman berkenaan.
Permohonan Khairuddin untuk rujukan ke Mahkamah Persekutuan dijadualkan untuk didengar pada 12 April.
Bagaimanapun, pada 2 April, Peguam Kanan Persekutuan S Narkunavathy menghantar emel kepada setiausaha Noorin meminta supaya permohonan membatalkan saman itu didengar terlebih dulu.
Pada 5 Mac, Khairuddin memfailkan empat isu perundangan di Mahkamah Tinggi untuk rujukan Mariana mengikut Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman.
Khairuddin memfailkan saman pemula pada 18 Jan memohon mahkamah memutuskan isu berkaitan undang-undang dan Perlembagaan berkaitan dengan pengisytiharan darurat itu.
Pada 17 Feb, Muhyiddin dan kerajaan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu atas alasan ia semberono, remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah.
Peguam Cara Negara Abdul Razak Musa dalam afidavit sokongannya berkata, tiada keterangan dalam permohonan Khairuddin itu yang menyokong dakwaannya bahawa Muhyiddin telah hilang majoriti di Dewan Rakyat.
Kata beliau, plaintif juga telah gagal mengenal pasti hak atau kepentingan perundangan umum serta peribadi yang telah dinafikan, atau kerugian peribadi yang dialami susulan nasihat Muhyiddin kepada Agong.
Agong mengisytiharkan darurat berkaitan Covid-19 pada 12 Jan, yang berkuat kuasa hingga 1 Ogos, sebagai langkah proaktif bagi mengekang wabak di negara ini.
Muhyiddin pada hari sama menjelaskan bahawa Jemaah Menteri telah menasihati Agong mengisytiharkan darurat mengikut Klausa (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, berkuat kuasa 11 Jan 2021 hingga 1 Ogos 2021.
Menurut klausa itu, sekiranya Agong berpuas hati bahawa wujud darurat besar yang menyebabkan keselamatan, kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam dalam Persekutuan terancam, baginda boleh mengeluarkan Proklamasi Darurat.
Empat lagi litigan memfailkan saman seperti itu yang masih belum didengar di Mahkamah Tinggi, manakala saman seumpamanya difailkan oleh Ahli Parlimen Pulai Salahuddin Ayub, Johari Abdul (Sungai Petani) dan Abdul Aziz Bari (Ahli Dewan Undangan Negeri Tebing Tinggi, Perak) ditolak bulan lalu.