Bazar Ramadan Bukit Nyamuk pula diarah tutup

Bazar Ramadan Bukit Nyamuk pula diarah tutup

Penutupan disebabkan kegagalan pematuhan SOP oleh peniaga dan pengunjung, namun tempoh penutupan tidak dinyatakan.

Sebelum ini Bazar Ramadan Tok Adis dekat Kuala Ibai, Kuala Terengganu menjadi Bazar Ramzadan pertama diarah tutup sementara selama 14 hari bermula 8 malam tadi hingga 30 April, namun dibuka semula selepas 2 hari (Gambar Bernama)
ALOR SETAR:
Bazar Ramadan Bukit Nyamuk di Kuala Nerang diarahkan ditutup, susulan pemeriksaan pihak Majlis Daerah Padang Terap (MDPT) mendapati SOP gagal dipatuhi oleh peniaga serta pengunjung bazar itu.

Yang Dipertua MDPT, Suhaimi Abd Rahman, berkata penutupan operasi bazar berkenaan berkuat kuasa Khamis namun beliau tidak menyatakan tempoh penutupan bazar Ramadan itu.

“Ia sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kejadian atau penularan wabak Covid-19 daripada berlaku di dalam kelompok komuniti daerah ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Katanya, antara SOP yang gagal dipatuhi peniaga dan pengunjung seperti yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) ialah tidak menyediakan kaunter saringan dan pemeriksaan suhu badan, tiada kawalan keluar masuk ke tapak bazar, tidak memakai pelitup muka, dan sebagainya.

Beliau berkata jika arahan berkenaan gagal dipatuhi, tindakan penguatkuasaan serta undang-undang akan diambil selaras dengan peruntukan kuasa kepada MDPT bawah Seksyen 72(1)(f) Akta Kerajaan Tempatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.