
Beliau sudah mengeluarkan arahan kepada semua anggota polis di sekatan jalan raya (SJR) dan pasukan pemantau supaya membuat semakan lebih terperinci pada surat kebenaran merentas negeri.
Pihaknya juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu yang cuba menipu untuk merentas negeri.
“Saya menyeru orang ramai tolong jangan sesekali bawa dokumen palsu kerana natijahnya cukup terkesan jika berlaku penularan Covid-19 malah denda yang dikenakan juga agak tinggi.
“Walau kes di Kedah masih lagi pada angka 30-50 sehari namun kita perlu ambil iktibar kes negeri lain yang jumlah kesnya tinggi dan cukup menakutkan. Surat merentas negeri hanya dibenarkan untuk kes kecemasan yang tidak dapat dielakkan saja,” katanya, menurut laporan Harian Metro.
Dalam perkembangan lain, Hasanuddin kecewa terhadap segelintir ibu bapa yang masih membawa kanak-kanak kecil terutama bayi baru lahir ke tempat awam kerana ia boleh mendatangkan bahaya berlaku jangkitan Covid-19.
“Bagi saya itu adalah ibu bapa yang betul-betul berani dan kalau kita ambil tindakan memang boleh tapi kesannya panjang.
“Jadi saya menyeru, tolonglah bantu kerajaan untuk menghapuskan 100% penularan Covid-19 ini dari terus merebak kerana kanak-kanak dan bayi tidak memakai pelitup muka, memang mudah dijangkiti,” katanya.