
Beliau berkata demikian susulan Timbalan Pendakwa Raya, Ainul Amirah semalam memberitahu Mahkamah Majistret Shah Alam yang Jabatan Peguam Negara tidak akan mendakwa pendakwah di Perlis, Zamri Vinoth Kalimuthu serta pengasas dan Presiden Multiracial Reverted Muslims, Firdaus Wong Wai Hung kerana polis mengklasifikasikan kes mereka sebagai “tiada tindakan lanjut” (NFA).
Kedua-duanya didakwa mempunyai kaitan dengan pendakwah kontroversi, Zakir Naik. Plaintif kes itu, S Shashi Kumar berkata, lebih 1,000 laporan polis dibuat terhadap Zamri kerana menghina amalan dan agama bukan Islam.
Kula dalam kenyataan hari ini menggesa campur tangan peguam negara kerana keputusan tidak mengambil tindakan terhadap dua pendakwah itu menjejaskan keamanan, keadilan dan keseimbangan dalam negara berbilang kaum serta agama.

“Peguam negara perlu memanggil timbalan pendakwa raya itu dan mengarahkan polis mengaktifkan siasatan serta meneruskan pendakwaan di mahkamah.
“Malaysia sudah hilang kredibilitinya dan melemahkan pengaruh moralnya ketika bercakap mengenai keadilan di pentas dunia, apabila tidak menghormati kaum minoriti dalam negaranya sendiri.”
Naib pengerusi DAP itu berkata, keputusan tidak mendakwa dua pendakwah itu bertentangan prinsip Perlembagaan, iaitu kesamaan dan keadilan di sisi undang-undang.
Beliau turut menggesa Menteri Perpaduan Negara, Halimah Mohamed Sadique untuk bersuara mengenai pendakwah yang menghina agama lain.
“Halimah perlu membangkitkan isu ucapan kebencian ini dan NFA dalam mesyuarat Kabinet esok untuk keputusan muktamad. Mari lihat sama ada beliau, atau menteri lain akan bersuara untuk kaum minoriti di negara kita.”