9 polis ada kaitan Nicky Liow akan dibebas dengan jaminan

9 polis ada kaitan Nicky Liow akan dibebas dengan jaminan

Peguam berkata, sembilan pegawai polis itu dijangka dibebaskan dengan jaminan polis hari ini atau esok.

Nicky Liow dipercayai masih bersembunyi dalam negara ini dengan beberapa beg wang tunai. (Gambar WhatsApp)
KUALA LUMPUR:
Sembilan pegawai polis yang ditahan kerana didakwa mempunyai kaitan dengan ahli perniagaan buruan, Nicky Liow akan dibebaskan dengan jaminan, beberapa jam selepas seorang lagi pegawai, Rahmat Fitri Abdullah menarik balik kes habeas corpus kerana dibebaskan dua hari lalu.

Seorang peguam berkata, sembilan pegawai itu, yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), dijangka dibebaskan dengan jaminan polis hari ini atau esok.

Baljit Sidhu berkata, beliau mengemukakan representasi kepada pegawai penyiasat untuk membebaskan anak guamnya, yang berpangkat superintendan dan asisten superintendan polis, kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Johor.

“Dua anak guam saya, termasuk pegawai yang pernah menyiasat pembunuhan Altantuya Shaariibuu, akan dibebaskan sama ada malam ini atau esok paling lewat,” katanya kepada FMT.

Susulan perkembangan terbaru itu, Baljit berkata, beliau memutuskan tidak memfailkan permohonan untuk mencabar perintah penahanan mereka dan jaminan itu ditawarkan sementara menunggu hasil siasatan.

“Mereka boleh didakwa atas kesalahan jenayah, jika pendakwa raya merasakan mereka mempunyai bukti mencukupi.”

Terdahulu, Rahmat menarik balik permohonan habeas corpusnya.

Selepas mendengar permohonan untuk menarik balik permohonan terhadap penahanan di bawah Sosma itu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Abdul Karim Abdul Rahman menekankan hujah Rahmat yang polis tersilap membuat penangkapan itu.

Rahmat berhujah yang kuasa pegawai polis menahan suspek di bawah Sosma selama 28 hari luput pada 31 Julai 2017 kerana resolusi diluluskan Parlimen tidak diwartakan menteri dalam negeri.

Peguam T Harpal Singh, yang mewakili Supari Muhammad dari Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, berkata anak guamnya akan dibebaskan malam ini.

Katanya, pegawai penyiasat memaklumkan perkara itu kepadanya tengah hari tadi.

“Jika ini keadaannya, saya akan menarik balik permohonan habeas corpus saya yang dijadualkan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 19 Mei.”

Baljit berkata, semua pegawai polis itu diminta hadir di Pusat Latihan Polis di Jalan Semarak, di sini, kira-kira 6 petang 26 April lalu.

“Dua jam kemudian, mereka ditahan dan dibawa ke Johor Bahru,” katanya sambil menambah ahli keluarga mereka tidak dimaklumkan mengenai penahanan itu.

Pada 27 April lalu, Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata, 10 pegawai polis dan dua pegawai SPRM yang ditahan atas dakwaan mempunyai kaitan dengan “Geng Nicky”, disiasat atas penipuan serta pengubahan wang.

Pada 30 Mac lalu, bekas ketua polis negara, Abdul Hamid Bador berkata, 34 pegawai dan anggota agensi penguat kuasa disyaki bersekongkol dengan “Geng Nicky” yang dikaitkan dengan Pengasas Winner Dynasty Group, Nicky Liow Soon Hee.

Baru-baru ini, siasatan menunjukkan Liow, 33, kali terakhir dilihat di Setiawalk, Puchong, pada 20 Mac lalu. Dia dipercayai masih bersembunyi dalam negara ini dengan beberapa beg wang tunai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.