Nhaveen ahli Geng 04, kata peguam

Nhaveen ahli Geng 04, kata peguam

Peguam bela tuduh ibu mangsa tagih simpati menerusi media, selain mendakwa Nhaveen yang mencetuskan pergaduhan dengan seorang daripada remaja yang didakwa membunuhnya.

Peguam bela Ranjit Singh Dhillon (kanan), Yagoo Subramaniam (tengah) dan Maanveer Singh Dhillon.
GEORGE TOWN:
Peguam dalam perbicaraan kes bunuh T Nhaveen mendakwa remaja itu anggota kumpulan kongsi gelap Geng 04, dengan mahkamah ditunjukkan gambar Nhaveen yang didakwa menayangkan lambang kumpulan kongsi gelap itu.

Mahkamah turut dimaklumkan Nhaveen telah menerima rawatan untuk darah beku dalam otaknya yang dikesan ketika dia berusia 17 tahun.

Peguam tertuduh yang didakwa memukul Nhaveen sehingga mati selain itu juga menuduh ibu remaja terbabit menagih simpati melalui media selepas memberi kenyataan kepada wartawan.

Dalam soal balas terhadap ibu Nhaveen, D Shanti, hari ini, peguam utama Ranjit Singh Dhillon menunjukkan Nhaveen bersama seorang rakan yang tidak dikenal pasti, yang diambil dari laman Facebook mangsa.

Ranjit mendakwa Nhaveen dalam gambar itu menggayakan lambang Geng 04 dengan tangannya.

Beliau kemudian menyoal sama ada Shanti menyedari anaknya itu anggota Geng 04 yang mendominasi kawasan Gelugor di mana keluarga itu tinggal.

Gambar Nhaveen bersama rakannya diambil dari Facebook. Peguam mendakwa mereka menunjukkan tanda geng 04.

“Saya bukannya mengatakan anak guam saya malaikat. Tetapi saya cadangkan Nhaveen yang mencetuskan pergaduhan.

“Dia dan rakannya Previin mempunyai pertalian dengan Geng 04,” kata Ranjit sebelum mengemukakan gambar itu sebagai bahan bukti.

Shanti bagaimanapun menafikan perkara itu sekeras-kerasnya malah berkata dia memang sentiasa tahu pergerakan Nhaveen. Menurutnya, gambar ditunjukkan Ranjit itu sebenarnya diambil ketika acara jogaton beberapa tahun sebelumnya.

Sementara itu, Ranjit turut menyoal Shanti mengenai dakwaannya semalam bahawa Nhaveen mengalami pendarahan dari dubur, seperti dimaklumkan seorang doktor yang hanya dikenali sebagai ‘Dr Priya.’

Ranjit berkata, Pakar Forensik Hospital Pulau Pinang Dr Amir Saad Abdul Rahim pada Isnin telah berkata dalam keterangannya bahawa dubur mangsa tidak menunjukkan kesan koyakan atau kemasukan ketika bedah siasat dilakukan.

Bagaimanapun Shanti menegaskan ‘Dr Priya’ telah memaklumkannya mengenai koyakan pada dubur mangsa “sebesar syiling 50 sen lama.”

Susulan itu Ranjit menyoal kenapa kes itu dibicarakan sebagai tuduhan bunuh dan bukan seks luar tabii namun wanita itu menjawab beliau hanya menyampaikan maklumat seperti yang diberikan kepadanya oleh ‘Dr Priya.’

Katanya, Dr Priya antara pakar saraf di hospital berkenaan yang merawat Nhaveen bagi ‘darah beku’ di otaknya yang dikesan ketika remaja itu berusia 17 tahun.

Empat tertuduh itu termasuk dua berusia 22 tahun dan dua pesalah juvana didakwa membunuh Nhaveen pada 19 Jun 2017.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu berhampiran Karpal Singh Learning Centre, Jalan Kaki Bukit, Gelugor antara jam 11 malam dan detik tengah malam.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Radzi Abdul Hamid bersambung pada 29 Jun. Beliau turut mengarahkan pendakwa meminta perintah perlindungan untuk saksi sekiranya perlu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.