Larangan haji susulan varian baharu Covid-19: Malaysia tunggu pengesahan Saudi

Larangan haji susulan varian baharu Covid-19: Malaysia tunggu pengesahan Saudi

Kerajaan Saudi dilapor mempertimbangkan larangan mengerjakan haji ke atas jemaah luar negara tahun ini berikutan kemunculan varian baharu Covid-19.

Kerajaan Arab Saudi mengambil pendekatan tersebut berikutan kemunculan varian baharu Covid-19 di seluruh dunia. (Gambar AP)
PUTRAJAYA:
Malaysia masih menunggu pengesahan daripada kerajaan Saudi berhubung laporan mengatakan ia mempertimbangkan larangan mengerjakan haji ke atas jemaah luar negara tahun ini berikutan kemunculan varian baharu Covid-19 di seluruh dunia.

“Saya tidak tahu berapa lama keputusan berkenaan akan diperoleh,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Mohamad, kepada pemberita selepas suatu majlis di Kompleks Islam Putrajaya.

Beliau berkarap akan dapat mengumumkan keputusan Saudi dalam masa terdekat.

Sebelum ini dilaporkan kerajaan Saudi bimbang untuk membuka pintu masuk kepada jemaah luar negara berikutan kemunculan varian baharu Covid-19 di peringkat global.

Zulkifli Mohamad.

Dalam perkembangan lain, Zulkifli menyangkal dakwaan beliau gagal melaksanakan tugasnya sebagai menteri yang menjaga hal ehwal Islam kerana lebih tumpu kepada perkara lain.

“Saya masih menghadiri mesyuarat kementerian. Jika pihak berkenaan tidak percaya mereka boleh rujuk jadual harian saya,” katanya.

Zulkifli di majlis pelancaran produk dana antara sebuah bank swasta dan Yayasan Waqaf Malaysia hari ini berkata kerajaan komited memperkasakan pengurusan waqaf melalui kerjasama antara agensi dan syarikat berkaitan kerajaan.

Beliau percaya tidak mustahil waqaf boleh menjadi sektor yang melengkapkan sektor awam dan swasta dengan kerjasama ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.