8 termasuk 2 disyaki sub ketua Abu Sayyaf ditahan di Sabah

8 termasuk 2 disyaki sub ketua Abu Sayyaf ditahan di Sabah

Polis berkata, mereka dipercayai melarikan diri ke Sabah berikutan operasi pasukan keselamatan Filipina membanteras kegiatan Abu Sayyaf di negara itu.

Hazani Ghazali menunjukkan gambar suspek yang dipercayai ketua dan ahli kumpulan militan Abu Sayyaf.
KOTA KINABALU:
Polis menahan lapan individu, termasuk dua ketua kumpulan kecil militan Abu Sayyaf di kawasan hutan paya bakau berhampiran Taman Sri Arjuna, di Beaufort Sabtu lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Hazani Ghazali, berkata 37 individu yang disyaki menggunakan resit pengenalan sementara palsu ditahan dalam serbuan 3 pagi itu oleh polis dan pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

“Operasi khas itu dijalankan berdasarkan perkongsian maklumat daripada pasukan keselamatan negara jiran Filipina dan semua individu yang ditahan adalah warga Filipina membabitkan lapan lelaki dan lapan wanita serta 21 kanak-kanak,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.

“Lapan yang ditahan terbabit dengan kumpulan militan Abu Sayyaf, termasuk dua yang tersenarai sebagai orang dikehendaki kerajaan Filipina,” katanya sambil menambah dua individu diburu itu adalah sub ketua kumpulan militan Abu Sayyaf.

Hazani berkata, semua individu terbabit dipercayai melarikan diri ke Sabah berikutan operasi pasukan keselamatan Filipina membanteras kegiatan kumpulan militan berkenaan di negara jiran.

Katanya, kumpulan itu dikenal pasti hanya terbabit dalam kes pertempuran dengan pihak berkuasa Filipina dan tidak berkaitan sebarang kes penculikan di perairan Sabah.

“Mereka pernah terbabit dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan marin Filipina di Kompleks Bud Bawis, Panama Sulu, pada 2011, 2018, 2019 dan November 2020 serta turut terbabit dalam beberapa kes penculikan warga asing di Filipina.”

Beliau berkata, semua individu itu direman reman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 50 (3) Akta Pertubuhan 1966.

Katanya, siasatan menjurus kepada beberapa persoalan, termasuk sama ada sebarang senjata api dibawa masuk dan sebab utama mereka memasuki Sabah.

“Siasatan juga dijalankan bagi mengenal pasti sama ada wujud sel tersendiri membabitkan kumpulan ISIS dan Abu Sayyaf di Sabah.”

Hazani berkata, beliau sudah mengarahkan semua ketua polis daerah memantau kawasan paya bakau atau rumah setinggan bagi mengenal pasti sama ada terdapat individu berkaitan kumpulan itu.

Katanya, semua ketua kampung dan penempatan turut diminta membantu mengenal pasti individu yang baru tinggal di kawasan mereka.

“Di Sabah, kita mengenal pasti 624 penempatan setinggan bagi memastikan tiada mana-mana daripada kumpulan ini menjadikannya tempat bersembunyi.

“Kita akan memperincikan setiap laluan atau kawasan berpotensi bagi memastikan kemasukan kumpulan militan ini dapat dibendung.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.