PKPD di 2 rumah panjang di Sarawak

PKPD di 2 rumah panjang di Sarawak

JPBN kenyataan memaklumkan PKPD dilaksanakan di Rumah Luyoh (Pakan) sejak semalam dan di Rumah Sat (Pakan) bermula hari ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata PKPD dilaksanakan di dua rumah panjang itu sehingga 1 dan 2 Jun.
KUCHING:
Dua lagi rumah panjang di Sarawak dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) manakala tiga lagi dilanjutkan tempoh pelaksanaan PKPD.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan PKPD di Rumah Luyoh (Pakan) bermula sejak semalam hingga 1 Jun manakala PKPD di Rumah Sat (Pakan) bermula hari ini hingga 2 Jun.

Tempoh pelanjutan PKPD pula dikuatkuasakan ke atas Rumah Setia (Sarikei) dari 18 hingga 19 Mei, Rumah Dinggai (Pakan) dari 20 hingga 26 Mei dan Rumah Rapit (Sarikei) dari 19 hingga 21 Mei.

PKPD yang tamat ialah Rumah Asin/Rumah Bidu (Pakan), Rumah Empeni anak Budom (Meradong), Rumah Nawing (Meradong) dan Rumah Jembu anak Ensor (Betong).

Menurut kenyataan itu, Sarawak hari ini merekodkan 433 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan 38,816 kes, dan terdapat satu kematian baharu akibat jangkitan itu sekali gus menjadikan angka korban setakat ini 225 orang.

Kenyataan sama menyebut Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak telah mengisytiharkan tiga lagi kluster baharu iaitu di Kuching, Lundu dan Bau.

“Kluster Jalan Sultan Tengah di Kuching merupakan satu kluster tempat kerja yang dikesan melibatkan pekerja sebuah pusat peranginan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Kluster Stunggang Melayu merupakan kluster komuniti yang dikesan di Kampung Stunggang Melayu manakala Kluster Jalan Jambusa melibatkan satu perhimpunan keluarga sempena sambutan Hari Ibu yang diadakan di sebuah premis kediaman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.