Kula mahu kerajaan siasat salah guna dana Penjana oleh ‘majikan’ palsu

Kula mahu kerajaan siasat salah guna dana Penjana oleh ‘majikan’ palsu

Bekas menteri sumber manusia itu berkata ramai ‘majikan’ memohon insentif tersebut tanpa mengambil pekerja.

Bekas menteri sumber manusia M Kula Segaran berkata dana Penjana hanya ditujukan untuk mereka yang baru terlibat dalam pekerjaan.
PETALING JAYA:
Bekas menteri sumber manusia M Kula Segaran mahu kerajaan bertindak berhubung dakwaan penyalahgunaan dana Program Insentif Pengambilan Pekerja di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Beliau mendakwa ramai “majikan yang meragukan” telah memohon program tersebut tanpa mengambil pekerja.

“Ini dilakukan dengan menyimpan daftar nama individu tanpa mengambilnya bekerja. Bagaimana nama-nama itu diperoleh adalah persoalan besar yang perlu dijawab,” katanya dalam kenyataan.

Ahli Parlimen Ipoh Barat itu berkata, ADUN Sabai D Kamache juga telah membuat laporan polis mengenai beberapa individu menganggur tetapi telah didaftarkan sebagai penyumbang Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Beliau berkata individu tersebut seolah bekerja untuk sebuah syarikat yang telah memohon insentif pengambilan pekerja Penjana.

Katanya, sekiranya dakwaan itu benar, ia jelas menunjukkan kekurangan akauntabiliti dan pengawasan terhadap wang pembayar cukai dan pelanggaran Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

Kula bertanya sama ada kerajaan sedar mengenai masalah tersebut dan apakah tindakan selanjutnya.

“Lepasan universiti dan belia yang belum pernah bekerja adalah mereka yang paling terjejas akibat dakwaan penyelewengan itu.

“Menteri perlu campur tangan dalam isu penyalahgunaan dana yang disediakan khusus buat mereka yang kehilangan pekerjaan,” katanya, merujuk kepada Menteri Sumber Manusia, M Saravanan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.