Stesen janakuasa Tenom Pangi bukan punca banjir, kata SESB

Stesen janakuasa Tenom Pangi bukan punca banjir, kata SESB

Sabah Electricity Sdn Bhd berkata, stesen itu direka berkonsepkan penggunaan aliran sungai untuk menjana tenaga elektrik, bukan melalui sistem empangan.

SESB memberi jaminan keselamatan kepada semua pihak dan merupakan keutamaan syarikat dalam operasi Stesen Janakuasa Hidro Tenom Pangi sejak 1980-an serta berjaya memanfaatkan sumber tenaga lestari bagi membekalkan tenaga elektrik. (Gambar Facebook)
KOTA KINABALU:
Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menafikan banjir yang melanda daerah Beaufort dan Tenom disebabkan pelepasan air melalui Stesen Janakuasa Hidro Tenom Pangi miliknya di Tenom.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB Norhizami Abu Hasan berkata, stesen itu direka berkonsepkan penggunaan aliran sungai untuk menjana tenaga elektrik, bukan melalui sistem empangan.

“Stesen ini beroperasi menggunakan kaedah mengalihkan aliran air sungai menerusi terowong sehingga ke tarbin hidro di stesen janakuasa bagi tujuan pengoperasian stesen.

“Jumlah air yang dialihkan tersebut adalah sama dengan jumlah air dilepaskan semula ke sungai,” katanya malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan bahawa banjir di Beaufort dipercayai disebabkan oleh pelepasan air di stesen janakuasa itu.

Norhizami berkata, “Diverson Water Gate” (DGW) yang menyerupai sebuah empangan dibina di stesen itu adalah struktur pagar direka untuk mengalihkan laluan air sungai bagi penjanaan tenaga elektrik.

Beliau berkata, apabila paras air sungai meningkat dan aliran sungai berlebihan, SESB akan membuka DWG dan melepaskan lebihan air secara semula jadi ke sungai.

“DWG akan dibuka secara berperingkat bagi pengaliran masuk air ke sungai dan SESB juga sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa tempatan bagi tujuan pemakluman pembukaan pintu pagar DWG tersebut,” katanya.

Norhizami berkata, SESB memberi jaminan keselamatan kepada semua pihak dan perkara itu merupakan keutamaan syarikat itu dalam pengoperasian Stesen Janakuasa Hidro Tenom Pangi yang beroperasi sejak 1980-an serta berjaya memanfaatkan sumber tenaga lestari bagi membekalkan tenaga elektrik untuk Sabah.

Katanya, penduduk Beaufort dan Tenom boleh menghubungi SESB Careline 15454 atau 088-515000 atau aplikasi WhatsApp di talian 019-852-5427 untuk sebarang pertanyaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.