PKPD: Perak salur RM2.38 juta bantu golongan miskin, B40 terjejas

PKPD: Perak salur RM2.38 juta bantu golongan miskin, B40 terjejas

Daripada jumlah itu, sebanyak RM1.2 juta akan disalur kepada empat Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) yang terlibat dengan pelaksanaan sekatan itu.

Empat mukim di Perak dikenakan PKPD hingga 4 Jun iaitu Mukim Pengkalan Hulu di daerah Hulu Perak, Mukim Taiping di daerah Larut Matang dan Selama, Mukim Hulu Kinta meliputi Ipoh, Lahat, Chemor dan Tanjung Rambutan di daerah Kinta serta Mukim Hulu Bernam Timur di daerah Muallim. (Gambar Bernama)
IPOH:
Kerajaan negeri Perak akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM2.38 juta untuk membantu rakyat khususnya golongan miskin dan B40 yang terkesan susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan selama dua minggu sejak Sabtu lepas.

Pejabat Menteri Besar Perak dalam kenyataan memaklumkan daripada jumlah itu, sebanyak RM1.2 juta akan disalur kepada empat Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) yang terlibat dengan pelaksanaan PKPD iaitu masing-masing RM400,000 bagi PDT Kinta serta PDT Larut Matang dan Selama manakala RM200,000 untuk PDT Hulu Perak dan PDT Muallim.

Kenyataan itu menyebut sejumlah RM1.18 juta yang melibatkan peruntukan sebanyak RM20,000 akan disalur kepada semua 59 pejabat pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi memudahkan setiap wakil rakyat di Perak menjalankan pengurusan menangani Covid-19 di kawasan masing-masing.

“Bantuan kepada semua pusat khidmat berkenaan diumumkan oleh Menteri Besar Saarani Mohamad ketika mengadakan pertemuan dengan semua ADUN Perak secara maya hari ini.

“Walaupun prosedur operasi standard (SOP) pada PKPD kali ini lebih longgar dengan aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi namun Menteri Besar mahu semua PDT serta agensi yang berkenaan membuat pemantauan bagi memastikan golongan rakyat yang terjejas dapat segera dibantu,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut bagi peruntukan kepada PDT di lokasi PKPD, menteri besar bersetuju agar keutamaan diberi bagi penyaluran bantuan kotak makanan kepada golongan miskin dan B40 yang terkesan terutama mereka yang terputus mata pencarian atau terjejas pendapatan ekoran pelaksanaan SOP sepanjang PKPD.

“Nilai barangan bagi setiap kotak makanan, senarai penerima, kaedah penyaluran adalah terpulang kepada kesesuaian dan budi bicara PDT di daerah yang berkenaan.

“Sekiranya terdapat lebihan peruntukan, PDT terbabit boleh menggunakan peruntukan tersebut bagi keperluan lain berkaitan pengurusan Covid19 termasuk membeli ubat-ubatan,” katanya.

Empat mukim di Perak dikenakan PKPD hingga 4 Jun iaitu Mukim Pengkalan Hulu di daerah Hulu Perak, Mukim Taiping di daerah Larut Matang dan Selama, Mukim Hulu Kinta meliputi Ipoh, Lahat, Chemor dan Tanjung Rambutan di daerah Kinta serta Mukim Hulu Bernam Timur di daerah Muallim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.