
Pengumuman itu dibuat Menteri sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin pada sidang media hari ini, selepas mengambil kira sambutan memberangsangkan terhadap vaksin berkenaan.
Ia sekaligus membuktikan, tidak ada lagi keraguan dalam kalangan masyarakat mengenai vaksin itu.
“Kita telah membuat keputusan bahawa bekalan vaksin AstraZeneca yang akan diterima pada bulan-bulan yang akan datang tidak lagi akan dilaksanakan secara opt-in sebaliknya akan kembali dimasukkan ke dalam senarai vaksin arus perdana PICK, ” katanya.
Sementara itu, Khairy turut memohon maaf kerana proses pendaftaran pusingan kedua AstraZeneca semalam, dan berkata masalah itu berkaitan isu teknikal dan sedang disiasat.
Selain itu, Khairy berkata kementerian berkenaan sedang mempertimbangkan penambahan ciri aplikasi MySejahtera bagi membolehkan orang awam memilih vaksin yang dikehendaki mengikut PICK.
“Keputusan membenarkan opt-in dibuat disebabkan ada keengganan dalam masyarakat untuk menerima vaksin AstraZeneca disebabkan beberapa berita yang mengaitkan vaksin ini dengan kes-kes pembekuan darah.
“Bagaimanapun, selepas melihat sambutan yang memberangsangkan dalam kaedah opt-in, kita melihat tahap keengganan terhadap AstraZeneca terhakis dan tidak lagi diragui dan sekarang ia diterima baik oleh masyarakat.”
Katanya, ciri baharu itu juga akan membolehkan pengguna memilih tarikh, waktu dan tempat suntikan.
Katanya, pihaknya mahu memastikan proses berkenaan lebih mudah, seterusnya ada beberapa pilihan sedang dipertimbangkan, yang akan diumumkan dalam beberapa minggu akan datang.
Sambil mengakui proses pendaftaran semalam sepatutnya lebih lancar, beliau berkata Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) juga akan menyiasat perkara itu.
Sementara itu, Khairy berkata beliau dimaklumkan bahawa beberapa organisasi membuat tempahan besar-besaran untuk vaksin AstraZeneca bagi individu, malah mungkin juga tanpa izin orang terbabit.
Beliau berkata demikian ketika menjelaskan kenapa segelintir pengguna mendapati janji temu mereka ditukarkan ke tarikh lain, dan untuk vaksin AstraZeneca, sedangkan mereka sendiri tidak berusaha mendaftar untuk pilihan opt-in.
“Buat masa ini, itu saja yang mungkin menjelaskannya,” katanya dengan menambah perubahan janji temu serta vaksinasi tidak patut berlaku.